Dewan terbuka SK Bintulu jadi kenyataan

BINTULU: Sekolah Kebangsaan Bintulu kini menikmati kemudahan dewan terbuka bagi kegunaan murid dan guru sekolah itu dengan siapnya dewan tersebut.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip berharap dengan kemudahan itu, ia dapat membantu murid dan guru dalam menjalani aktiviti di sekolah.

Pembinaan dewan berkonsep terbuka di bawah Projek Transformasi Luar Bandar DUN Jepak itu menjadikan ia lebih fleksibel untuk pelbagai aktiviti termasuk sukan selain dijadikan tempat untuk ulang kaji pelajaran,” katanya semasa mengadakan tinjauan mesra ke sekolah berkenaan, semalam.

Dr Zaliha menyerahkan sumbangan SABATI kepada Abang Mohamad Khirul.

Adun Jepak itu yang ditemani isterinya, Datin Dr Zaliha Abdullah, Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu, Radin Poji, guru besar SK Bintulu, Mohamed Khaidir Haji Mohamed Arebi dan Yang diPertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru(PIBG) SK Bintulu, Abang Mohamad Khirul Abang Kusairi turut meluangkan waktu meninjau dan melihat sendiri suasana sesi persekolahan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan pematuhi prosedur operasi standard(SOP) di sekolah berkenaan.

Talib, kemudiannya, menyerahkan sumbangan pelitup muka dan cecair pembersih tangan kepada Mohamed Khaidir diikuti penyerahan sumbangan Badan Amal Tenaga Isteri- Isteri(SABATI) kepada Mohamad Khirul oleh Dr Zaliha selaku Setiausaha Kehormat pertubuhan tersebut.

Zaliha yang juga penanung Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) OKU Gemilang Jepak turut menyatakan kesediaannya untuk berkongsi ilmu dan pengalaman beliau kepada golongan terlibat (pelajar).

Beliau, sebelum ini, pernah bertugas sebagai pensyarah dan Penyelaras Saintis dalam penyelidikan ubat HIV selain pernah berkhidmat sebagai Rakan Penyelidik Kanan (Senior Research Fellow) di CRAUN Research Sdn.Bhd.

Talib dan Zaliha ditemani Mohamed Khaidir dan Abang Mohamad Khirul melihat salah seorang pelajar SK Bintulu mencuci tangan sebagai sebahagian SOP dalam mengekang penularan wabak Covid-19.
 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak