Dua suspek dicekup selepas empat jam curi motosikal

KUCHING: Dua lelaki termasuk remaja 15 tahun dipercayai terlibat dalam kes kecurian sebuah motosikal di Santubong pada Sabtu berjaya dicekup polis pada dua operasi berasingan di Bandar Baru Samariang, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Supt Merbin Lisa berkata, operasi mengesan suspek dilakukan oleh sepasukan Unit peronda (MPV) dan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching mengambil masa hampir empat jam selepas kejadian dilaporkan menerusi Bilik Gerakan.

Menurutnya, kedua-dua suspek merupakan warga masing-masing berusia 15 dan 24 tahun.

Terdahulu, katanya, satu laporan polis berkaitan kes kehilangan sebuah motosikal jenis Honda yang diletakkan di depan rumah di Santubong diterima pihaknya sekitar jam 6 pagi.

“Tangkapan pertama melibatkan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun sedang leka meleraikan komponen motosikal terbabit di sebuah rumah kosong berhampiran kawasan Bandar Baru Samariang sekitar jam 8.40 pagi.

“Operasi kedua melibatkan pasukan JSJ Kuching seterusnya menahan seorang lagi lelaki, 24, dipercayai perancang kes kecurian kenderaan itu di kawasan sama sejurus tangkapan pertama dilakukan” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu, katanya, kedua-dua suspek bersama barangan kes telah ditahan dan dibawa ke IPD Kuching untuk tindakan siasatan lanjut.

Tambahnya, Mahkamah Majistret Kuching telah meluluskan reman terhadap suspek selama empat hari sehingga 9 Julai bagi tujuan tindakan siasatan lanjut dilakukan.

“Siasatan akan diteruskan bagi mengenalpasti penglibatan suspek terhadap kes kecurian lain yang berlaku di sekitar kawasan Kuching,” katanya.

Dedahnya, salah seorang daripada suspek mempunyai empat rekod kesalahan jenayah lampau berkaitan dadah.

Ujarnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara tidak melebihi tujuh tahun dan denda.

Dalam pada itu, beliau menyeru kepada masyarakat terus memberikan kerjasama menyalurkan maklumat berkaitan sebarang salah laku jenayah menerusi talian 082-244444 atau berhubung dengan mana-mana balai polis yang terdekat.

TAHAN… Kedua-dua suspek berjaya ditangkap dalam tempoh hampir empat jam setelah kejadian dilaporkan berlaku

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak