Ekosistem pertanian moden Betong-Sarikei

BETONG: Ekosistem pertanian moden untuk membangunkan kawasan Betong-Sarikei sebagai bakul makanan harus dipersiapkan dengan penumpuan terhadap usaha menambah baik prasarana dan mempercepatkan proses transformasi digital.

Ahli Parlimen Betong Datuk Robert Lawson Chuat berkata, pembangunan lapangan terbang baharu di Spaoh bakal membuka peluang penawaran dan permintaan hasil pertanian yang lebih besar.

Menurutnya, hasrat Kerajaan Sarawak menjadikan kawasan ini sebagai pembekal makanan merupakan usaha strategik untuk melaksanakan beberapa inisiatif berimpak tinggi bagi mencipta peluang pekerjaan dan keusahawanan khususnya dalam penyediaan barangan, perkhidmatan dan perniagaan berasaskan pertanian.

“Justeru, ekosistem pertanian perlu dipersiapkan. Ini termasuk mempertingkatkan prasarana untuk memastikan ekonomi yang berdaya saing agar cekap dan pantas bagi menarik lebih banyak pelaburan.

“Saya juga menyeru Kerajaan Persekutuan sentiasa prihatin menambah baik tadbir urus sektor peningkatan hubungan dan mobiliti barang serta perkhidmatan melalui ekonomi digital. “Dalam masa yang sama, transformasi digital juga diharap dapat dipercepatkan, terutamanya era pasca-Covid-19 yang berhadapan kebiasaan baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyokong Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhun Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah Shah di Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, kelmarin.

Jelasnya lagi, Kerajaan Sarawak berazam untuk meningkatkan bilangan estet kecil atas kerjasama agensi kerajaan, petani dan syarikat perusahaan swasta.

“Ia selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dengan projek berimpak tinggi seperti kawasan bakul makanan akan membuka peluang pekerjaan dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Langkah ini juga dapat mempertingkatkan produktiviti isi rumah berpendapatan rendah. Impak awal sudah dapat dilihat. “Dengan penyertaan lebih banyak masyarakat misalnya petani moden di kawasan luar bandar, jurang pendapatan luar bandar dan bandar akan dapat dikurangkan lagi,” ujarnya.

Robert menambah, Kerajaan Sarawak sedang berbincang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengenai input pertanian seperti baja, racun perosak dan lain-lain yang harus diletakkan di bawah Mekanisme Kawalan Harga KPDNHEP.

Katanya lagi, usaha itu jika berhasil akan menjadikan harga produk lebih berpatutan, sekali gus dapat mengurangkan beban petani terutamanya melibatkan banyak penjimatan dari sudut kos pengangkutan.

Mengenai teknologi pertanian pintar dan digitalisasi dalam perladangan, pertanian, ternakan dan perikanan, beliau mengakui ia amat penting bagi meningkatkan kualiti, kecekapan pengeluaran dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga manusia.

“Sesungguhnya, kami amat menanti-nantikannya dengan harapan dapat memberikan perkhidmatan lebih cekap serta selesa yang menjangkau semua rakyat Sarawak terutama penduduk di Betong.

“Kami warga Betong juga teringin untuk memasarkan produk pertanian dengan menghubungkan pengeluar ke pasar dan meningkatkan produk yang sesuai dengan pasaran melalui Internet Benda (IoT), akan tetapi jurang teknologi itu masih jauh. “Kami berharap proses transformasi digital di Sarawak dapat dipercepatkan,” jelasnya.

Beliau berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan Perikatan Nasional (PN) dan Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak atas segala inisiatif bantuan yang telah diberikan kepada rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak