Empat blok asrama dinaik taraf

SERIAN: Kerja-kerja naik taraf empat blok asrama SMK Tebakang yang dijadual bermula dalam masa terdekat akan memberi manfaat kepada 200 pelajar sekolah itu.

Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah berkata, SMK Tebakang turut dikategorikan sebagai sekolah daif tetapi hanya melibatkan blok asrama.

“Terdapat dua kategori sekolah daif iaitu melibatkan keseluruhan bangunan sekolah, manakala yang kedua merupakan sebahagian daripada bangunan sekolah berkenaan.

“Selepas meninjau dan mendengar taklimat daripada Kementerian Kerja Raya (KKR), saya puas hati dengan perancangan yang teliti termasuk menambah kapasiti bangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan ke SMK Tebakang, 35 kilometer dari Serian di sini kelmarin.

Menurut Shahar, pada asalnya empat blok asrama yang dinaik taraf yang hanya memuatkan 150 pelajar tetapi KKR meningkatkan kapasitinya kepada 200 pelajar.

“Terima kasih kepada JKR Sarawak kerana memahami keperluan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kos lebih kurang RM3 juta.

“Selepas ditender dan kontraktor dilantik dalam masa terdekat, kerja-kerja naik taraf mengambil masa lapan bulan untuk disiapkan,” jelasnya.

Perkara paling utama ujarnya, ialah blok asrama berkenaan memberi kesan yang baik kepada anak-anak di kawasan luar bandar.

SMK Tebakang mempunyai 954 pelajar asrama yang terdiri daripada 465 lelaki dan 489 perempuan.

Majoriti pelajar sekolah berkenaan adalah pelajar asrama yang mendiami 10 blok asrama (enam blok perempuan dan empat blok lelaki).

Sehubungan itu, kerja-kerja menaik taraf empat blok asrama iaitu tiga blok asrama perempuan dan satu blok asrama lelaki adalah menggantikannya kepada bangunan konkrit.

Empat blok asrama yang bakal dinaik taraf adalah bangunan tidak kekal.

Pengarah Pendidikan Sarawak Abang Mat Ali Abang Masagus; Timbalan Pengarah JKR Sarawak Siti Nurainawati Aini dan Pengetua SMK Tebakang Charles Kored antara yang hadir.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak