Empat sekolah daif di Lubok Antu dibina semula

KUCHING: Penantian guru, kakitangan sokongan dan murid di empat sekolah daif di Parlimen Lubok Antu bakal berakhir apabila ia diberi kelulusan untuk dibina semula.

Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, empat sekolah itu ialah SK Nanga Kesit, SK Skrang, SK Batang Ai dan SMK Engkilili.

“Empat sekolah ini dikategorikan sebagai sekolah daif yang perlu dibina semula.

“Kerja-kerja pembinaan dijangka bermula awal tahun 2021,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang pada perbahasan Sidang Dewan Rakyat Sesi Julai 2020 di Kuala Lumpur, semalam.

Jelas Radzi lagi, kos bagi membina tiga sekolah rendah iaitu SK Nanga Kesit, SK Skrang dan SK Batang Ai berjumlah RM15.5 juta.

“Projek naik taraf dan bina semula bangunan SK Nanga Kesit melibatkan enam bilik darjah, empat rumah guru dan satu bilik sains.

“Kerja-kerja pembinaan projek ini telah dimulakan pada 10 Julai lalu,” jelasnya.
Tambahnya, bagi SK Skrang pula, skop projek adalah membina lapan unit kuarters.

“Manakala, bagi projek SK Batang Ai, skop projek merangkumi pembinaan asrama berkapasiti 100 murid dan enam unit kuarters.

“Kedua-dua projek ini masih dalam fasa prabina dan penyediaan dokumen tender yang dijangka selesai Ogos depan,” tambahnya.

Dalam pada itu, Radzi memberitahu, pembinaan penuh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Engkilili telah diluluskan di bawah Projek Khas Kementerian Ekonomi (MEA) tahun 2020.
“Skop projek meliputi pembinaan enam bilik darjah, asrama berkapasiti 200 pelajar, empat unit rumah guru dan kemudahan lain mengikut piawai.

“Pada masa ini, projek sedang dalam fasa perancangan seperti reka bentuk dan penyediaan dokumen tender,” ujarnya.

Katanya lagi, pembinaan projek dijangka akan bermula awal tahun 2021.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak