Gahnya Empangan Baleh

BALEH: Pembinaan projek hidroelektrik Baleh berkapasiti 1,285 megawatt mencapai fasa yang sangat baik walaupun berdepan kekangan PKP susulan Covid-19, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Datuk Sharbini Suhaili.

Jelasnya, ini termasuk penyiapan terowong pengalihan yang dijadualkan siap pada akhir Ogos nanti.

“Kami berterima kasih kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) kerana membenarkan kerja dijalankan walaupun dalam tempoh PKP dengan SOP yang ketat.

“Terowong ini sangat penting bagi memenuhi keperluan keseluruhan projek HEP Baleh menjelang 2026.

“Namun ketika berusaha memenuhi sasaran, aspek keselamatan menjadi keutamaan kami bagi memastikan semua pekerja dan kontraktor mesti mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau menegaskan Sarawak Energy tidak akan bertoleransi dengan segala insiden ketidakpatuhan kerana boleh membawa kesan serius kepada projek.

Menurutnya, projek ini pada masa ini mempunyai sekitar 700 pekerja di tapak dan dijangka mencapai seramai 3,500 secara keseluruhan, dengan pekerja Sarawak dan asing yang berkemahiran tinggi.

Katanya, usaha berterusan yang diambil untuk memaksimumkan pekerja tempatan melalui latihan pekerja dalam pelbagai bidang kemahiran yang diperlukan.

Naib Presiden Eksekutif Ir. Pramod Kumar Karunakaran berkata, kegiatan pengalihan sungai dijadualkan selesai pada Oktober tahun ini dengan kemajuan keseluruhan pada 66 peratus.

Pembinaan sebuah tambak di hulu dan hilir bagi membolehkan pengaliran sungai dan dimulakan pada September depan.

“Selepas itu, aktiviti utama membina empangan dapat diteruskan,” katanya.

Beliau menambah, walaupun projek ini tidak melibatkan penempatan semula, namun program sosial dengan masyarakat tempatan dikembangkan dan dilaksanakan termasuk melatih belia tempatan dan pemberian biasiswa serta menjalankan program pembangunan perusahaan. HEP Baleh dengan ketinggian 225 meter di atas permukaan laut terletak di Sungai Baleh, kira-kira 105 kilometer ke hulu dari Sungai Rejang di Kapit.

Apabila siap, empangan ini akan menjadikan Sarawak memiliki empat loji hidro elektrik besar bagi meningkatkan penjanaan tenaga hidro yang diperbaharui.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak