Hanya tiga pelanggan, perlu buat janji temu

KUCHING: Rafflesia Wellness Centre memulakan semula operasi perkhidmatan spa mereka mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bermula semalam.

Pengarah Urusannya Shirley Hasmani Eddie berkata, mereka mengambil berat akan keselamatan dan kesihatan pelanggan dengan melakukan sanitasi bermula sejak pelanggan masuk hingga tamat sesi urutan.

“Kasut atau selipar pelanggan akan disanitasi terlebih dahulu sebelum mereka menggunakan selipar khas di spa. “Kemudian, pekerja kami akan memeriksa suhu badan pelanggan dan memberikan cecair sanitasi tangan sebelum memulakan sesi urutan,” katanya kepada Suara Sarawak di Rafflesia Wellness Sdn Bhd, Hotel Hilton di sini, semalam.

Tambah Shirley, selain pelanggan, pekerja juga akan menggunakan peralatan perlindungan diri semasa memberikan perkhidmatan  urutan kepada pelanggan.

“Setiap peralatan termasuk bilik juga akan disanitasi sebelum dan selepas digunakan. “Tuala, selimut dan sebagainya akan dibungkus di dalam plastik tertutup. Ini bagi memastikan pelanggan yang datang yakin dan selesa untuk menggunakan tuala dan selimut tersebut,” katanya.

Shirley berkata, selesai urutan, setiap tuala dan selimut yang telah digunakan akan disimpan ke dalam plastik bertutup dan segera dicuci pada suhu tinggi. Ujarnya, dekorasi di spa juga dikurangkan dan tiada bahan fabrik dibiarkan berada di luar bagi mengelakkan sebarang sentuhan sehingga menyebabkan perkara tidak diingini berlaku.

Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Rafflesia Wellness Centre memulakan operasi bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam. Ekoran PKP pemulihan masih dikuatkuasakan, mereka cuba untuk memulakan operasi bermula dari jam 10 pagi hingga 6 petang.

“Kita baru sahaja beroperasi semula  dan kita tahu segelintir masyarakat masih takut untuk keluar. Jadi, sukar untuk kami beroperasi mengikut waktu sebelum ini. “Namun setelah keadaan kembali normal dan pelanggan mula yakin, kami akan beroperasi seperti sediakala,” ujarnya.

Ditanya mengenai pakej yang terdapat di spa tersebut, Shirley memberitahu, mereka kini mempunyai pakej RM388 untuk selama sebulan. “Dalam pakej itu, kami memberikan pelbagai pakej lain. Pelanggan akan mendapat perkhidmatan 60 minit Balinese massage, 60 minit Anti-stress and Detox Facial dan sebulan keahlian untuk menggunakan gimnasium di Hotel Hilton.

“Sesi untuk pakej ini hanya selama sejam susulan SOP yang hanya membenarkan tempoh tersebut bagi setiap pelanggan,” jelasnya lagi.

Shirley berkata, buat masa ini mereka tidak menyediakan perkhidmatan berasaskan rawatan air seperti body scrub, foot scrub, rawatan yang menggunakan tab mandi, sauna dan jakuzi.

“Namun kami masih menyediakan perkhidmatan urutan kaki, badan dan rawatan muka kepada pelanggan,” tambahnya lagi.

Dalam hal berkaitan, beliau memberitahu, pelanggan yang ingin mendapatkan perkhidmatan perlu membuat janji temu terlebih dahulu.

Jelasnya, ia bagi memudahkan mereka menyediakan soalan berkaitan keselamatan yang akan dihantar melalui WhatsApp atau e-mel kepada pelanggan.

“Kaedah ini bukan sahaja menjimatkan masa pelanggan, tetapi untuk keselamatan mereka (pelanggan) dan kami sebelum menggunakan perkhidmatan di spa. “Buat masa ini, aktiviti datang terus ke spa adalah tidak digalakkan,” tegasnya.

Bagi mematuhi garis panduan pembukaan semula spa, Shirley berkata, hanya tiga pelanggan dibenarkan pada satu masa mengikut janji temu yang telah dibuat.

“Kami memerlukan satu atau dua jam di antara pelanggan yang datang bagi memudahkan kami membersihkan bilik untuk kegunaan pelanggan seterusnya.

“Jika ada pelanggan yang datang pada waktu yang sama, kami  akan menghantar pelanggan tersebut ke cawangan spa kami di Hotel Merdeka Palace,” kata Shirley.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) membenarkan perkhidmatan spa, pusat refleksologi dan urut kaki di Sarawak beroperasi kembali bermula 6 Julai lalu mengikut SOP yang telah ditetapkan.

Foto Ghazali Bujang


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak