Hidupkan semula Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan

KUCHING: Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang menggesa Kerajaan Persekutuan untuk menghidupkan semula Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan dengan mengambil kira situasi di Sarawak.

Menurutnya, ia adalah satu usaha mengemas kini status kewarganegaraan khususnya penduduk yang layak apabila sebelum ini banyak membantu Sarawak.

“Jawatankuasa ini ditubuhkan pada tahun 2016, dan sejak itu telah bermesyuarat sebanyak 23 kali apabila 129 permohonan daripada 723 permohonan yang diterima diluluskan.

“Jawatankuasa ini amat diperlukan dalam mempercepatkan proses permohonan kewarganegaraan khususnya yang melibatkan anak-anak bersekolah dan memerlukan bantuan perubatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam perbahasan usul menjunjung titah diraja Yang Di-Pertuan Agong XVI sempena Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Rakyat Ke-14 di ibu negara semalam.

Tegas Rubiah, isu kewarganegaraan perlu diselesaikan dengan sebaik mungkin kerana ia boleh menjejaskan masa depan penduduk yang layak.

“Tanpa pengesahan terhadap kewarganegaraan, ada yang terpaksa berhenti sekolah kerana tidak dapat menduduki peperiksaan awam akibat ketiadaan kad pengenalan.

“Ada yang tidak berani ke hospital kerana tidak mampu memandangkan perkhidmatan perubatan di kebanyakan hospital ditanggung oleh kerajaan hanya untuk warganegara,” jelasnya.

Oleh itu, beliau menggesa pihak Kerajaan untuk menghidupkan semula Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan dan Task Force yang bertanggungjawab menilai permohonan kewarganegaraan selaras peruntukan Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, beliau memohon agar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menyegerakan cadangan menaik taraf Klinik Kesihatan Kota Samarahan yang menampung perkhidmatan bagi populasi hampir 56 ribu penduduk.

“Kapasiti klinik agak kecil sehingga tiada lagi ruang meletakkan kenderaan.

“Pelawat terpaksa meletakkan kenderaan di sepanjang tepi jalan di luar kawasan klinik,” ujarnya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak