Ibadah haji dalam skala kecil

MAKKAH: Jemaah haji mula mengerjakan ibadah haji pada Rabu dan berlangsung selama lima hari dalam bilangan yang dikurangkan secara drastik tahun ini, dalam usaha kerajaan Arab Saudi mencegah penyebaran wabak Covid-19.

Pihak berkuasa Arab Saudi pada awalnya mengatakan hanya sekitar 1,000 jemaah yang tinggal di negara itu diizinkan untuk mengerjakan haji, tetapi laporan media tempatan mengatakan sehingga 10,000 jemaah diizinkan untuk mengambil bahagian.

Kira-kira 70 peratus daripada jemaah haji ialah warga asing yang menetap di negara itu, sementara selebihnya warga Arab Saudi, kata pihak berkuasa.

Rancangan televisyen menunjukkan jemaah haji memasuki Masjidil Haram secara berkumpulan melakukan tawaf pertama mereka, dengan memakai pelitup muka, Jemaah haji terpilih diwajibkan memakai pelitup muka dan mematuhi penjarakan sosial ketika melakukan wukuf, tawaf dan upacara keagamaan lain sepanjang lima hari di Makkah dan beberapa lokasi lain.

Mereka juga diwajib menjalani pemeriksaan suhu badan dan ditempatkan dalam kuarantin wajib sebaik sahaja memasuki Makkah pada hujung minggu lalu.

Media rasmi negara itu juga menunjukkan pekerja melakukan sanitasi beg jemaah dan masing-masing diberi gelang elektronik bagi membolehkan pihak berkuasa menjejaki lokasi mereka.

Pekerja dilihat membersihkan seluruh Masjidil Haram dan kawasan sekitar Kaabah.

Pihak berkuasa haji menutup Kaabah tahun ini, mengatakan jemaah haji tidak dibenarkan menyentuhnya untuk membendung kemungkinan jangkitan.

Pihak berkuasa juga dilapor menyediakan banyak kemudahan kesihatan, klinik bergerak dan ambulans sebagai persediaan awal bagi menjaga keperluan para jemaah.

Pengarah Keselamatan Awam Arab Saudi, Khalid bin Qarar alHarbi berkata, tiada kebimbangan berkaitan keselamatan sepanjang ibadah haji tahun ini.

Keputusan mengehadkan bilangan jemaah untuk melindungi jemaah daripada bahaya pandemik.

Media asing juga dilarang menunaikan haji tahun ini, yang lazimnya menjadi acara media global yang besar, kerana kerajaan memperketat kemasukan ke Makkah. – AFP

Suara Sarawak