Ingkar SOP: 33 individu dikenakan kompaun RM1,000

KUCHING: Tindakan tidak mengamalkan Standard Operasi Prosuder(SOP) penjarakan sosial punca 33 individu dikenakan kompaun RM1,000 oleh polis di sebuah premis Bistro berhampiran Jalan Song, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Awang Din Awang Gani berkata, kesemua individu terbabit ditemui tidak mematuhi SOP norma baharu ketika serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Kuching di lokasi sekitar jam 11.30 malam.

Menurutnya, tindakan tegas termasuk denda kompaun terus dilaksanakan berikutan masih terdapat ramai orang awam yang mengambil sikap tidak peduli terhadap arahan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia itu.

“Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati pekerja dan pelanggan premis tersebut gagal mematuhi arahan penjarakan sosial di mana mereka duduk dalam keadaan terlalu rapat antara satu sama lain.

“Seramai 33 individu terdiri daripada 20 lelaki dan 13 wanita dikenakan kompaun atas kesalahan mengikut Peraturan 3, PPPPB (No. 7) 2020,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dedahnya, lima daripada individu yang ditahan merupakan pekerja premis tempat serbuan itu sendiri.

Susulan itu, katanya, kesemua individu terbabit diarahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching (IPD) bagi tindakan siasatan lanjut.

Jelas beliau, denda kompaun yang telah dikeluarkan perlu dijelaskan di Pejabat Kesihatan Daerah Kuching dalam tempoh 14 hari dengan nilai kompaun sebanyak RM 1,000 setiap seorang.

Tegasnya, polis tidak lagi memberi amaran dan teragak-agak untuk mengenakan kompaun kepada mana-mana premis dan pengunjung yang gagal mematuhi SOP penjarakan sosial.

Katanya, tindakan itu perlu bagi membendung penularan Covid-19 yang dilihat mulai merebak semula pada masa kini.

Ujarnya, orang awam khususnya pengusaha premis dan pelanggan diminta untuk sentiasa mengikuti saranan kerajaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Permulihan(PKPP) supaya mematuhi SOP bagi membendung penularan wabak tersebut daripada terus berleluasa.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak