Judi tanpa lesen: Tujuh premis dipotong bekalan elektrik di Kuching

KUCHING: Polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuching bertindak memotong bekalan elektrik terhadap tujuh buah kedai runcit dipercayai menjalani kegiatan judi tanpa lesen, hari ini.

Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Awang Din Awang Gani menerusi satu kenyataan rasmi.

Menurutnya, operasi dijalankan oleh pasukannya bersama beberapa petugas daripada Sarawak Energy Berhad (SESCO) sekitar jam 9 pagi hingga 1.30 tengah hari.

“Operasi ini dijalankan setelah hasil pemeriksaan mendapati premis-premis ini menjalankan aktiviti perjudian tanpa lesen.

“Tindakan tersebut selari mengikut seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka(ARJT) 1953 dimana pihak polis boleh membuat pemotongan elektrik atas alasan premis itu menjalankan sebarang aktiviti perjudian,” jelasnya.

Tambahnya, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching berjaya membuat empat serbuan ke atas premis dipercayai menjalani aktiviti perjudian tanpa lesen dalam tempoh tiga hari bermula 19 Julai 2020 hingga hari ini.

Susulan itu, katanya, kesemua sabjek kini masih lagi disiasat dan ditahan di bawah Seksyen 4(1)(c) ARJT 1953.

Tegasnya, jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan denda RM5,000 hingga RM50,000 dan penjara hingga tiga tahun.

Dalam pada itu, beliau sekali lagi memberi amaran keras kepada mana-mana pengusaha agar tidak menjalankan sebarang aktiviti perjudian tanpa lesen sebelum dikesan oleh pihak polis.

POTONG…Pihak polis bersama beberapa kakitangan SESCO menjalankan tindakan pemotongan bekalan elektrik terhadap premis yang dikenal pasti terlibat dalam kegiatan judi tanpa lesen

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak