Kahwin campur satukan masyarakat

KUCHING: Sarawak kaya dengan perpaduan, kepelbagaian dan keharmonian sehingga ia mencetus gambaran yang menarik mengenai negeri ini.

Di Bumi Kenyalang, perkahwinan campur bukan sesuatu yang baharu kerana ia melibatkan pelbagai latar belakang seperti India, Cina, Melayu, Iban, Bidayuh, Orang Ulu, Melanau dan Penan.

Ratu Cantik Malaysia 2018, Larissa Ping Liew, antara hasil perkahwinan campur Cina dan Kenyah. Gadis berusia 21 tahun itu berkata, ketika membesar beliau lebih ke arah keluarga Kenyah kerana ayahnya yang berbangsa Cina amat menghormati budaya dan sentiasa mendorong belajar mengenai salasilah keluarga.

Bagaimanapun beliau cukup gembira dilahirkan sebagai anak campuran kerana dapat meraikan dua perayaan berbeza setiap tahun.

“Kami dapat meraikan sambutan Tahun Baharu Cina dan Hari Krismas setiap tahun,” katanya. Datang daripada keluarga campuran dua kaum, Larissa memberitahu ia merupakan kebiasaan di Sarawak.

Menurutnya, walaupun tidak menguasai bahasa Kenyah, dia tetap mahu belajar selok-belok tarian tradisional dan belajar bermain sape. “Salah satu sebab saya dapat belajar lebih mengenai latar belakang Kenyah kerana datuk nenek saya tinggal bersama-sama saya,” katanya.

Sementara itu, Tracey Edwina Hughes merupakan kacukan Welsh dan Bidayuh berkata, dia sering dipanggil sebagai orang putih dalam kalangan penduduk tempatan.

“Saya tidak terasa hati dengan perkara tersebut, tetapi ia membuat saya berasa kekok terutama semasa di sekolah dan pelajar lain akan memandang saya,” katanya yang merupakan seorang penasihat jualan yang kelihatan lebih kepada seorang berbangsa Inggeris berbanding Bidayuh.

“Saya tidak pernah tinggal di Wales walaupun saya bercuti beberapa kali ke sana. Saya akan memperkenal diri sebagai seorang Bidayuh kerana saya tahu bertutur bahasa Bidayuh. Saya telah menetap di sini sepanjang umur saya dan saya juga makan belacan seperti masyarakat tempatan yang

lain,” ujarnya yang berusia 28 tahun. Bagaimanapun katanya, dia berkomunikasi dalam bahasa Bidayuh dengan ibunya dan menggunakan dialek tersebut bersama-sama pekerja di kedai kopi ibunya.

“Saya mula mempelajari dialek itu sejak zaman remaja. Ia sangat sukar untuk menyesuaikan diri ketika pertama kali berpindah ke sini, saya perlu belajar bahasa Bidayuh dan bahasa kebangsaan, bahasa Melayu,” katanya.

Sebelum berpindah ke Sarawak, Tracey berkongsi bahawa dia berpindah ke banyak negara berbeza dan hanya mampu berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris. Ia mengambil masa dua tahun untuk menguasai kedua-dua bahasa. “Ia bukan mudah dan saya belum mahir lagi tetapi saya mampu untuk berkomunikasi dengan orang lain dengan mudah,” katanya.

Atlet gusti lengan negeri itu memberitahu dia sangat menyukai perayaan Hari Gawai dan Hari Krismas. “Memandangkan suami saya adalah campuran Bidayuh dan Iban, saya berpeluang untuk kembali ke rumah panjang untuk meraikan perayaan Hari Gawai,” katanya.

Sebagai seorang Eurasia yang tinggal di Sarawak, beliau memberitahu walaupun ibunya adalah Bidayuh asli, namun dia tidak dapat mendapatkan hak yang sama seperti masyarakat asli yang lain.

“Terdapat banyak peluang, program yang saya tidak dapat sertai kerana campuran bangsa saya,” katanya. Usahawan dan Pengarah Kreatif Arzmy Hargreaves berkata, dia sering disalah sangka sebagai seorang Arab, Thailand termasuk rakyat Puerto Rico.

“Sering kali orang bertanya dokumen selain hanya meminta kad pengenalan Malaysia ketika melakukan transaksi secara sah,” katanya. Jejaka 32 tahun itu campuran pelbagai bangsa — Ireland, India Punjabi, Cina dan Melayu. Menurutnya, ia merupakan satu kurniaan untuk membesar dalam keluarga berbilang bangsa.

“Saya suka untuk berada dalam keluarga berbilang kaum kerana kepelbagaian budaya. Warna kulit menjadikan kehidupan suatu perkara yang menarik dan cantik,” katanya. “Keseronokan dalam keluarga perkahwinan campuran ialah dapat meraikan semua perayaan, jelas Arzmy.

Saya bersyukur kerana dapat menyambut Hari Raya, Tahun Baharu Cina dan Hari Krismas!,” ujarnya. Beliau menganggap, perkahwinan campur adalah sesuatu yang menarik kerana ia membuka pandangan masyarakat dengan lebih luas dan mampu melihat daripada perspektif yang berbeza.

“Apa-apa pun, saya ingin menegaskan bahawa semua bangsa di luar sana adalah indah, hentikan sikap perkauman dan pada akhirnya hanya ada satu bangsa, iaitu bangsa manusia,” katanya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak