Kawalan lebih ketat di sempadan

SEMATAN: Kompleks Kastam Imigresen Kuarantin (CIQ) baharu di sempadan Telok Melano bernilai lebih RM30 juta kini dalam proses pembangunan dan dijangka siap pada 2022.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pusat itu dibangunkan di kawasan seluas tujuh hingga sepuluh ekar untuk memudahkan kawalan keluar masuk warga asing negara jiran.

“Ini akan memastikan kawalan lebih teratur terhadap aktiviti keluar masuk warga asing di sempadan Malaysia-Indonesia. “Kami jangka kawasan sempadan negara jiran, terutamanya Indonesia akan pesat membangun. “Justeru, ada kepentingan membina pusat CIQ di sana,” katanya pada sidang media di Pos Kawalan Pasukan gerakan Am (PGA) Teluk Melano, kelmarin.

Beliau berkata, pusat itu juga boleh dibina di kawasan sempadan di Tebedu dan Empangan Balih, berhampiran Long Bawang berikutan kawasan tersebut turut dikenal pasti sebagai laluan keluar masuk warga asing.

“Kami akan menghantar pasukan pemantau untuk meninjau sama ada perlu untuk mewujudkan CIQ mengikut keperluan semasa. “Turut dibincangkan, penyediaan aset dan teknologi canggih melalui PDRM bagi memperketatkan kawalan sempadan terutamanya di kawasan laluan tikus,” katanya.

Hamzah turut mendedahkan bahawa 21 projek dalam Rancangan Malaysia Ke-11 berjumlah lebih RM700 juta berjalan lancar dan kini dalam proses pembangunan. Jelasnya lagi, sebanyak 21 projek merangkumi 11 projek berkaitan PDRM, Jabatan Imigresen, Jabatan Penjara, AADK, Jabatan Pendaftaran Negara dan Angkatan Pertahanan Maritim Malaysia.

“Setakat ini, tiga projek PDRM, satu projek imigresen, dan satu lagi projek APMM sudah selesai, manakala yang lain masih dalam proses.

“Ini bukti Kerajaan Persekutuan bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak bagi memastikan pembangunan sentiasa dipertingkatkan untuk keselamatan,” tambahnya.

Jelasnya, peruntukan khas sebanyak RM490,000 turut disediakan bagi membangunkan kediaman untuk menempatkan sekitar 20 anggota PGA di pos kawalan Teluk Melano.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak