Kes langgar lari di Jalan Steven Yong, mayat lelaki ditemui terbaring di tepi jalan

PADAWAN: Seorang lelaki ditemui terbaring dan berlumuran darah dipercayai dilanggar lari di kawasan berhampiran Jalan Steven Yong, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, kejadian disedari oleh pengguna jalan raya yang menemui mangsa ketika melintasi jalan Haji Baki menghala ke Bau sekitar jam 8 pagi.

Menurutnya, mangsa, dikenali sebagai Chang Nyan Ted berusia 61 tahun.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai telah dilanggar lari ketika dalam berjalan kaki.

“Akibat daripada kemalangan tersebut mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala dan kaki sebelah kiri disahkan maut oleh pegawai perubatan Hospital Umum Sarawak(HUS) di lokasi kejadian,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, mayat seterusnya dibawa ke HUS untuk tindakan selanjutnya dilakukan.

Susulan itu, beliau meminta orang ramai yang ada menyaksikan kejadian untuk tampil memberikan atau menyalurkan maklumat kepada mana-mana balai bolis terdekat untuk memudahkan siasatan kes dilakukan.

Ujarnya, kes masih lagi dalam siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak