Konflik Youtuber Sugu Pavithra: “Saya maafkan suami”

IPOH: “Saya maafkan suami”. Itu ungkapan ringkas diberikan oleh S Pavithra berhubung konflik melibatkan dia dan suaminya yang agak mengejutkan masyarakat di seluruh negara, sejak beberapa hari ini.

Pavithra, 28, berkata, dia tidak mahu lagi memikirkan masalah berlaku, sebaliknya mahu fokus kepada kehidupan mereka sekeluarga termasuk kembali meneruskan program masakan di YouTube.

“Saya dan suami akan teruskan kehidupan seperti biasa dan kami akan kembali bersama meneruskan rancangan masakan di YouTube pada bila-bila masa sahaja,” katanya.

Dia berkata demikian selepas menjelaskan bayaran jaminan RM10,000 yang dikenakan ke atas suaminya di Mahkamah Sesyen Ipoh, kelmarin.

Terdahulu, suaminya, M Sugu, 29, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah sabit di tempat awam.

Pavithra yang kelihatan sedih memohon kepada orang ramai untuk terus memberi sokongan terhadap program masakan kendalian mereka di saluran YouTube ‘Sugu Pavithra’.

“Saya harap tiada yang salah faham dan saya sendiri pun tidak ambil hati atas apa-apa juga komen diberikan netizen di media sosial.

“Teruslah beri sokongan kepada kami,” katanya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak