Lelaki di Miri kantoi buang dadah belakang rumah

MIRI: Tindakan seorang lelaki membuang bekas berisi dadah ke belakang rumah ternyata gagal untuk meloloskan dirinya daripada ditangkap polis di belakang pagar sebuah rumah berhampiran Siang-Siang Garden, Jalan Luak Bay, semalam.

Suspek berusia 47 tahun itu berjaya ditangkap hasil operasi serbuan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah dan Narkotik Dadah Miri sekitar jam 10.30 malam.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Lim Meng Seah berkata, hasil pemeriksaan awal pasukan terhadap objek yang dibuang suspek mendapati ia mengandungi beberapa paket dipercayai dadah pelbagai jenis.

“Antara barang yang ditemui termasuk enam paket plastik lutsinar masing-masing berisi 50 biji pil berwarna ungu disyaki pil jenis Ecstacy seberat 98 gram.

“Selain itu, lima paket plastik lutsinar berisi pil berwarna merah jambu dipercayai Ecstacy sebanyak 250 biji seberat 101 g.

“Seterusnya turut ditemui, 100 papan kerajang timah berisi 1000 biji pil berwarna merah disyaki dadah jenis Erimin seberat 280 g,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dedahnya, suspek mengaku telah terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah lebih setahun sebelum ditangkap pihak penguat kuasa.

Susulan itu, katanya, suspek bersama barangan kes telah ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Miri untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, turut dirampas, sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dan wang tunai sebanyak RM1,000.

Ujar beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak