Lelaki Indonesia maut kemalangan traktor di Lundu

LUNDU: Seorang lelaki warga Indonesia maut akibat kecederaan parah di kepala dalam kejadian kemalangan kendiri melibatkan sebuah jentera berat jenis traktor di ladang Union Plantations Sdn Bhd, Sampadi, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan dilaporkan melibatkan sebuah traktor dipandu oleh seorang warga Indonesia, 43, bersama mangsa sebelum kenderaan itu terbabas sekitar jam 8.30 pagi.

Menurutnya, mangsa dikenali sebagai Satrah berusia 49 tahun dan merupakan salah seorang pekerja buruh ladang di lokasi berkenaan.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca setelah pemandu menukar gear menyebabkan traktor terbabit tergelincir pantas menuju ke hadapan.

“Mangsa (penumpang) yang duduk di bahagian trailer telah bertindak melompat keluar lalu mengalami kecederaan serius di bahagian kepala akibat jatuh terhempap ke batu,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, katanya, si pemandu mengaku telah membawa mangsa ke asrama kediaman untuk bantuan rawatan namun mangsa disahkan meninggal dunia.

“Mangsa seterusnya dibawa oleh kenderaan syarikat ke hospital Lundu dengan diringi oleh kenderaan polis.

“Siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak