Menyantuni komuniti nelayan melalui Program Musaadah Covid-19 YaPEIM

TIADA seorang pun menyangka seluruh dunia berhadapan dengan ancaman paling dahsyat pada abad ini apabila sejenis virus muncul dan mengorbankan beratus ribu nyawa dalam masa beberapa bulan sahaja sehingga (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) WHO mengisytiharkannya sebagai pandemik abad ke-20.

Bermula di Wuhan, China pada Disember 2019 dan digelar sebagai virus Covid-19 sejak semalam mencatatkan jangkitan kepada penduduk di seluruh dunia sebanyak 16,687,885 orang, manakala kes kematian pula mencatatkan sebanyak 657,454 orang.0

Di Malaysia sahaja, menurut statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), keseluruhan kes jangkitan Covid-19 mencecah sebanyak 8,943 dan jumlah kematian sebanyak 124 orang sejak semalam.

Usaha kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan bermula sejak 18 Mac 2020 untuk mencegah penularan virus Covid-19 sememangnya berkesan namun memberi impak yang amat ketara kepada sektor ekonomi negara.

Banyak golongan terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tersebut kerana banyak aktiviti ekonomi terpaksa dihentikan, malah memberi kesan yang agak teruk kepada komuniti nelayan pesisir pantai.

Walaupun PKP membenarkan nelayan beroperasi bagi memastikan rantaian bekalan makanan laut tidak putus dan keselamatan makanan negara terjamin namun hasil tangkapan nelayan khususnya nelayan pantai tidak dapat dijual kerana peraih tidak dapat membeli hasil tangkapan apabila sebahagian pasar ditutup manakala yang beroperasi pula dihadkan masa operasi. Akibatnya, pendapatan dan kehidupan komuniti nelayan pesisir pantai khususnya terjejas teruk.

Sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, kerajaan Persekutuan mengambil pendekatan drastik bagi membantu golongan yang terjejas punca pendapatan akibat penularan Covid-19 dengan mengumumkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Kerajaan Sarawak juga turut mengambil inisiatif dengan menyalurkan bantuan untuk rakyat Sarawak yang terjejas akibat penularan virus Covid-19 melalui Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS).

Melihat akan komitmen kerajaan serius untuk membantu golongan yang terjejas pendapatan akibat Covid-19, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia mengambil langkah untuk turut serta bersama-sama dengan kerajaan dalam membantu golongan ini melalui Program Inspirasi Musaadah Covid-19.

Menurut Fadlie bin Zamuri, Pengurus YaPEIM Negeri Sarawak, Program Inspirasi Musaadah Aidilfitri YaPEIM adalah kesinambungan dari Program Foodbank YaPEIM 2.0 yang komponen utamanya adalah Program Musaadah Ramadhan YaPEIM dan Program Musaadah Covid-19 yang dilaksanakan sebelum ini.

Untuk merealisasikan tujuan tersebut melalui Program Foodbank 2.0, YaPEIM menggunakan dana dari Tabung Amanah YaPEIM yang kebanyakannya hasil dari sumbangan orang ramai dan badan-badan korporat.

“Prihatin dengan kesusahan golongan B40 dan asnaf seperti nelayan pesisir, YaPEIM tampil menyalurkan sumbangan di bawah Program Inspirasi Musaadah Covid-19 dan sedang giat dilaksanakan di seluruh negara dan kini sedang menjelajah ke negeri Sarawak termasuk Sabah. Dijangka lebih 90,000 penerima manfaat bakal disantuni,” kata beliau lagi

“Sejak permulaan PKP pada 18 Mac sehingga 30 Jun lalu, YaPEIM membelanjakan sebanyak RM54,900 untuk Sarawak, disalurkan untuk bantuan ke 32 lokasi dan memberi manfaat untuk 4,710 orang setakat ini.”

Pendapatan Terjejas Teruk

Menurut Senep Bin Yassin, Ketua Kaum Kampung Sibu Laut, bantuan dari YaPEIM melalui Program Musaadah Covid-19 amat bermakna sekali untuk mereka apatah lagi majoriti penduduk kampung tersebut merupakan nelayan pesisir pantai sepenuh masa yang terjejas punca pendapatan akibat penularan wabak Covid-19.

“Pendapatan kami sebagai nelayan terjejas teruk, hasil tangkapan laut tidak dapat dijual ke kedai malah peraih tidak dapat membeli hasil laut mereka sewaktu sekatan PKP malah tidak dapat dijual ke restoran-restoran makanan laut.”

“Kami amat berterima kasih dan menghargai bantuan daripada kerajaan Persekutuan, kerajaan Sarawak, badan bukan kerajaan dan terutama YaPEIM yang prihatin dengan nasib mereka sebagai nelayan terjejas punca pendapatan akibat penularan Covid-19”, ujar beliau lagi.

Bagi Rosli Bin Putin, Pengerusi Saberkas Kampung Pulau Salak membantu pihak YaPEIM dalam usaha menghantar bantuan ke pulau tersebut melalui Program Inspirasi Musaadah Covid-19 untuk penduduk pulau amatlah dihargai.

“Kami amat berterima kasih di atas bantuan yang diberi dan serba sedikit dapat meringankan beban penduduk kampung tersebut dalam menghadapi penularan virus Covid-19. Kami sama seperti perkampungan nelayan pesisir pantai di Sarawak yang lain, majoritinya adalah nelayan sepenuh masa.”

“Pendapatan harian penduduk kampung terjejas kerana hasil laut tidak dapat dipasarkan kerana tiada pembeli, kami bersyukur kerana mendapat bantuan daripada kerajaan untuk menghadapi Covid-19 melalui pelan tindakan kerajaan untuk membantu golongan nelayan yang terjejas teruk sumber pendapatan mereka, tidak terkecuali juga jutaan terima kasih kepada badan bukan kerajaan dan YaPEIM yang turut menghulur bantuan”, ujar Rosli lagi.

YaPEIM Kekal Menyantuni

Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) akan terus menyantuni kumpulan sasar dari kalangan keluarga miskin, kumpulan B40, asnaf dan lain-lain dengan mengadakan Program Inspirasi Musaadah Covid-19 YaPEIM melalui peruntukan Tabung Amanah YaPEIM.

Sebanyak RM2.2 juta digunakan dari Tabung Amanah YaPEIM bagi Program Foodbank YaPEIM 2.0 #MusaadahCovid19 termasuk Program Beli & Sumbang memberi manfaat kepada 110,284 orang di 604 lokasi yang terjejas sepanjang tempoh PKP yang bermula 18 Mac lalu sehingga hari ini.

Pihak YaPEIM turut mengucapkan terima kasih kepada penyumbang budiman dan juga pihak menyokong YaPEIM selama ini.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak