Naik taraf infrastruktur  atasi gangguan bekalan air

MARUDI: Penduduk di Marudi diminta agar bersabar kerana kerja naik taraf bekalan air masih dilaksanakan bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air di sini.

Adun Marudi Datuk Dr Penguang Manggil berkata, bekalan air terus terganggu disebabkan kerja naik taraf infrastruktur menerusi Pakej NR2 dan pakej bekalan air Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

“Kedua-dua kerja naik taraf infrastruktur bekalan air ini dijangka siap pada Ogos 2021 bagi Pakej NR2 dan Januari 2021 bagi KPLB.

“Bagaimanapun apabila kerja naik taraf itu siap, perkhidmatan bekalan air di Marudi akan bertambah baik,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya pada sesi dialog Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), kelmarin.

Sesi dialog melibatkan ketua masyarakat, ketua kaum dan NGO di Dewan Suarah Marudi itu diadakan untuk memudahkan agensi berkenaan memberikan penjelasan berkaitan masalah gangguan bekalan elektrik dan air di Marudi termasuk Beluru.

“Saya juga memberi peluang kepada JBALB dan SEB untuk mengemukakan penyelesaian terhadap isu berkenaan,” jelasnya.

Dalam hal berkaitan, SEB turut menjelaskan mengenai isu gangguan bekalan elektrik pada 2 hingga 4 Julai dan 16 Julai lalu di Marudi.

“Pihak SEB memaklumkan bahawa gangguan disebabkan tiang elektrik di dalam hutan dipanah petir sehingga gangguan bekalan elektrik berlaku.

“Selain itu, SEB memaklumkan bahawa kerja naik taraf pencawang di Marudi dan Bunut akan menyelesaikan masalah bekalan elektrik yang kurang stabil di kawasan ini,” ujarnya.

Tambah Penguang lagi, SEB akan berusaha untuk menyediakan sebuah genset terutamanya di Hospital Marudi untuk menampung bekalan elektrik apabila berlaku gangguan.

Pada masa yang sama, beliau turut menasihati rakyat agar mengemukakan aduan menggunakan saluran yang betul.

“Ini bagi memastikan isu yang dihadapi dapat diselesaikan dengan mudah, bukan menjadikan ia sebagai mainan politik bagi kepentingan sesetengah pihak,” tegas Penguang.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak