Pelan jangka pendek bantu penggiat seni

KUCHING: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) mengambil langkah proaktif bagi membantu golongan penggiat seni yang terjejas sumber pendapatan akibat pandemik Covid-19.

Pengerusi Finas Zakaria Abdul Hamid berkata, Finas memulakan rancangan jangka pendek selama enam bulan bermula semalam sehingga 31 Disember bagi membantu penggiat seni tanah air untuk memulihkan ekonomi negara.

“Saya mahu penggiat seni khususnya di Sarawak tidak tertinggal dengan segala perancangan yang diadakan dalam menyalurkan dana khususnya dari segi penghasilan filem.

“Melalui program tahunan iaitu DKD, Finas membuka peluang untuk memudahkan dan mempercepat proses kelulusan dana bagi menyalurkan kewangan kepada pembikinan drama dokumentari termasuk filem.

“Surat tawaran kepada produksi untuk memulakan drama dan dokumentari bakal diedarkan pada minggu hadapan sebelum menjalani proses penilaian dan pemilihan bagi memberi tawaran dana kepada pembikinan filem,” ujarnya ketika mengadakan lawatan kerja di Finas Cawangan Sarawak, kelmarin.

Manakala bagi program untuk penggiat seni yang baharu Zakaria menambah, Finas akan membantu membuka peluang dan menyediakan dana bagi menggerakkan program tersebut. “Pada masa sama, kita akan menggerakkan filem yang bermotifkan kenegaraan.

“Sesiapa yang mempunyai idea menerbitkan filem kenegaraan boleh menghubungngi Finas untuk berbincang dari segi pengeluaran filem dan juga pembiayaan dana,” jelasnya. Beliau berkata, perancangan memulihkan ekonomi setakat ini berjalan lancar. “Antara perancangan ialah mendapatkan kelulusan SOP bagi sesi penggambaran filem dan pembukaan panggung wayang,” katanya.

Selain membantu industri filem, Finas juga memberi komitmen membantu pihak industri muzik. Finas akan memastikan penggiat seni tidak terkecuali untuk menerima bantuan bagi memulihkan keadaan ekonomi negara.

“Kami mahu penggiat seni mempunyai maklumat tepat berkenaan perancangan pihak Finas, demi memulihkan keadaan ekonomi khususnya kepada mereka. “Kami akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan semua penggiat seni di tanah air termasuk Sarawak dapat menerima bantuan,” ujar Zakaria.

 

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak