Pencuri batang aliminium di tapak projek ditangkap

KUCHING: Dua lelaki penagih dadah terlibat dalam kecurian batang aliminium di tapak projek pembinaan Metrocity Khamis lalu berjaya diberkas polis di Jalan Datuk Temenggong Tan Meng Chong, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Awang Din Awang Gani berkata, suspek berjaya ditahan hasil serbuan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Kuching di lokasi berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati kedua-dua individu terbabit merupakan warga tempatan berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun.

Terdahulu, hasil laporan maklumat risikan mendapati suspek dilihat mengikat batang aluminium dan memasukkan barang-barang terbabit ke dalam sebuah kereta jenis Proton Iswara sebelum beredar dari lokasi kejadian.

“Hasil soal siasat suspek telah mengaku menjual batang aliminium yang dicuri ke sebuah premis membeli barangan lusuh di Jalan Batu Kawa.

“Pasukan seterusnya berjaya menjejaki semula barangan terbabit termasuk resit jualan serta menahan pekerja premis bagi membantu siasatan lanjut,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu, katanya, suspek bersama barangan kes termasuk kenderaan yang digunakan ketika melakukan kecurian tempoh hari telah dibawa ke IPD Kuching untuk tindakan siasatan lanjut.

Dedahnya, kedua-dua suspek turut didapati positif dadah jenis Metamphetamine hasil ujian saringan awal air kencing.

Tambahnya, semakan rekod juga mengesahkan suspek mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah dan salah seorang daripadanya pernah ditangkap bersabit kes pecah rumah.

Tegasnya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret bagi permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosuder Jenayah pada 15 Julai 2020.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, beliau sekali menegaskan kepada orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah kepada pihak polis bagi membanteras aktiviti jenayah di sekitar kawasan Kuching.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak