Penunggang LC maut rempuh Viva dari belakang

KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki warga tempatan maut setelah motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan jalan raya di Kilometer 6, Jalan Datuk Mohd Musa berhampiran bangunan pusat beli-belah Aiman Mall, semalam.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Supt Alexson Naga Chabu berkata, kejadian melibatkan dua buah kenderaan jenis motosikal Yamaha LC dan motokar Viva dan berlaku sekitar jam 12.46 pagi.

Menurutnya, mangsa maut dikenali sebagai Nur Syahmiezal Sarizan, 21, yang berasal daripada Kampung Sindang Baru Kota Samarahan.

“Hasil siasatan mendapati kenderaan Viva yang dinaiki dua individu dari arah Kota Samarahan menuju ke hostel Virutal Park telah dilanggar oleh sebuah motosikal dari arah belakang.

“Akibat daripada itu, penunggang motosikal disahkan maut di tempat kejadian serta merta,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, pemeriksaan lanjut menunjukkan kedua-dua individu di dalam kenderaan Viva terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Susulan itu, katanya, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk dilakukan bedah siasat.

Ujarnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak