Pertembungan pemprotes, polis meningkat di AS

MINNEAPOLIS: Perintah Berkurung dilaksanakan di bandar utama AS pada Sabtu ketika ketegangan antara polis rusuhan dan pemprotes yang merusuh meningkat di seluruh Amerika dengan para pemprotes mengabaikan amaran keras Presiden Donald Trump.

Minneapolis, pusat tercetusnya pergolakan itu dicengkam keganasan malam kelima berturut-turut. Polis rusuhan menembak gas pemedih mata dan bom tangan ke arah pemprotes yang marah atas kematian lelaki kulit hitam semasa ditahan polis di bandar itu pada Isnin.

Protes tersebut merebak ke lebih 20 puluh bandar lain di seluruh negara. Di Los Angeles, Chicago dan Atlanta penduduknya diarahkan kekal di rumah pada waktu malam Kebanyakan negeri mengerahkan tentera Pengawal Nasional membantu mengawal rusuhan antipolis yang tidak pernah dilihat sejak bertahun-tahun di AS. Perintah berkurung waktu malam juga dikuat kuasa di Louisville, Kentucky.

Dari Seattle ke New York, puluhan ribu pemprotes turun ke jalan menuntut pertuduhan pembunuhan yang lebih berat dan penangkapan lebih banyak atas kematian George Floyd yang mati setelah anggota polis Minneapolis, Derek Chauvin menekan lehernya dengan lutut hampir sembilan minit.

Di Los Angeles, petugas menembak peluru getah ketika pertembungan dengan pemprotes yang membakar kereta polis. Polis dan pemprotes bertempur di banyak bandar termasuk Chicago dan New York, dengan polis rusuhan bertindak balas menyembur lada terhadap pemprotes yang membaling objek keras.

Di Philadelphia, pemprotes memecah cermin kedai. Trump menyalahkan pihak berfahaman ekstrem mencetuskan keganasan, termasuk penjarahan dan pembakaran yang berleluasa di Minneapolis, mengatakan sebenarnya perusuh tidak menghormati Floyd.

“Kita tidak boleh membiarkan sekumpulan kecil penjenayah dan pengacau merosakkan bandar kita dan membazirkan masyarakat kita,” kata presiden. “Pentadbiran saya akan menghentikan keganasan penyangak ini,” tambahnya, menuduh militan rangkaian antifasis Antifa yang mengatur rusuhan ganas tersebut.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak