Program menyeluruh pembangunan bola sepak

KETUA Jurulatih Bola Sepak Sukma Ahmad Fairuz Yunus mencadangkan agar Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) mempunyai satu program yang menyeluruh dalam pembangunan bola sepak negeri.

Ahmad Fairuz bercadang agar FAS lebih proaktif dalam menyediakan satu program pembangunan bola sepak yang menyeluruh dengan kerjasama Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) supaya sukan tersebut mempunyai hala tuju di negeri ini.

“Hala tuju program tersebut harus ada program pembangunan bawah umur seperti bawah 15 tahun, 16 tahun dan 18 tahun.

“Setakat ini, FAS belum ada program pembangunan menyeluruh seperti yang dicadangkan.

Oleh sebab itu, kemajuan dalam sukan ini bergerak agak lambat berbanding negeri lain,” katanya kepada Suara Sarawak kelmarin.

Beliau berkata, jika mengharapkan SSC mungkin tidak semua program dapat dilakukan dan badan induk persatuan itu sendiri harus bergerak memainkan peranan penting dalam memajukan sukan tersebut.

Dalam pada itu, Ahmad menjelaskan bahawa program pusat cemerlang di bawah SSC berjaya melahirkan lima orang pemain elit meskipun masih baharu diperkenalkan pada tiga tahun yang lepas.

Lima pemain program pusat cemerlang akan menjadi tonggak utama dalam aksi perlawanan di dalam Sukma Johor 2021.

Oleh hal demikian, beliau berharap agar badan induk persatuan itu dapat mempertimbangkan satu program yang menyeluruh supaya dapat melahirkan lebih ramai pemain-pemain tempatan yang profesional.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak