Sahut cabaran jadi penternak berjaya

SERIAN: Peserta Program Input Projek Ternakan digesa menyahut cabaran untuk menjadi penternak berjaya. Menteri Muda Kementerian Permodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Roland Sagah Wee Inn menggesa peserta supaya berusaha memajukan projek ternakan masing-masing menggunakan bantuan diberikan kerajaan dengan sebaiknya.

Katanya, ia demi meningkatkan taraf ekonomi masing-masing dan menyumbang kepada ekonomi Sarawak. Jelas Sagah, sejumlah RM2,174,000 diperuntukkan kepada Dun Tarat, Kedup dan Bukit Semuja bagi membantu menjayakan 150 peserta program pertanian.

Selain itu, sebanyak RM160,000 turut diperuntukkan kepada 16 peserta program ternakan komersial. “Peruntukan itu merupakan dana khas Kerajaan Sarawak bagi membantu penternak membangunkan projek ternakan masing-masing untuk menambah pendapatan penternak.

“Kerajaan berbelanja begitu banyak untuk membantu penternak dan bantuan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk membantu aspek perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Input Projek Ternakan Bagi Dun Tarat, Kedup dan Bukit Semuja di Roxy Hotel, Serian kelmarin.

Adun Tarat itu berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Serian akan mengagihkan semua input berkaitan kepada peserta dan memantau kerja pembangunan infrastruktur dan lain-lain kerja berkaitan.

Sagah juga mengalakkan peserta menjaga ternakan sebaik mungkin. Katanya, peserta juga digalak menceburi bidang pertanian dan penternakan menggunakan teknologi terkini.

Tambahnya, kementerian amat mengalakkan penggunaan teknologi moden untuk pertanian dan penternakan.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak