Sarawak tingkat penguatkuasaan bendung penularan COVID-19 – Douglas Uggah

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak akan meningkatkan lagi penguatkuasaan bagi membendung penularan COVID-19 dalam kalangan warga tempatan.

Pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata beliau telah mengarahkan pasukan pemantauan untuk lebih tegas dalam penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Timbalan Ketua Menteri I itu berkata ujian dan saringan COVID-19 juga akan diperluas ke kawasan yang berkemungkinan berlaku penularan wabak tersebut termasuk tapak pembinaan, perladangan, pasar, rumah penjagaan orang tua serta beberapa sekolah di sekitar Kuching dan Samarahan.

“Sehingga 19 Julai, seramai 61,368 individu telah disaring untuk COVID-19 menggunakan ujian RT-PCR bagi seluruh negeri Sarawak di mana seramai 608 individu telah dikesan positif ujian itu bersamaan dengan 0.99 peratus,” katanya pada sidang media COVID-19 di sini hari ini,

Menurutnya, sebanyak 833 sampel RT-PCR telah diambil dari 110 tapak pembinaan yang telah dikenal pasti iaitu Sri Aman (empat), Betong (satu), Miri (83), Samarahan (tiga), Sibu (satu), Bintulu (16) serta Serian (dua), dan daripada jumlah itu, sebanyak 788 sampel didapati negatif manakala 45 lagi masih menunggu keputusan.

Selain itu, Uggah berkata bagi saringan di kawasan perladangan, sebanyak 31 sampel telah diambil yang merangkumi 16 sampel dari pekerja tempatan dan 15 dari pekerja asing dan daripada jumlah tersebut, 24 sampel adalah negatif dan tujuh sampel masih menunggu keputusan.

“Bagi saringan secara rawak di pintu masuk utama (POE), bagi tempoh 21 hingga 27 Jun, sebanyak 985 sampel bagi ujian RT-PCR COVID-19 telah diambil secara rawak setakat ini yang mana 834 sampel adalah negatif, 151 sampel masih menunggu keputusan dan dua sampel adalah positif,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata sampel saringan secara rawak di POE akan ditambah kepada 10 peratus daripada jumlah penumpang yang tiba pada satu-satu masa.

“Bagi saringan untuk para guru, sebanyak 2,439 sampel RT-PCR telah diambil daripada guru yang tiba ke Sarawak dari luar Sarawak dan daripada jumlah itu, 2,424 sampel adalah negatif, 14 sampel masih menunggu keputusan dan satu sampel positif seperti yang dimaklum pada 19 Julai,” katanya.

Uggah juga berkata setakat ini, kerajaan negeri belum berhasrat untuk menutup sepenuhnya pintu sempadan walaupun terdapat peningkatan kes import dari luar negara.

“Memang ada kerisauan melihat kepada peningkatan kes import dari luar negara tetapi setakat ini, kita masih memikirkan mekanisme yang boleh digunakan untuk membendung penularan ini, sebagai contoh jika warganegara pulang ke Sarawak dari luar negara, mereka diwajibkan menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari,” katanya.

— Bernama


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak