Sarawak tuntut teruskan projek tergendala

RAKYAT Sarawak sedar banyak projek di negeri ini yang pernah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak dilaksanakan sebaik sahaja pusat kuasa di Putrajaya bertukar tangan.

Sepanjang memerintah Malaysia 22 bulan, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) membatalkan projek-projek tersebut termasuk projek besar yang sewajarnya diberi keutamaan demi kepentingan rakyat dan pembangunan jangka panjang negeri itu.

Hal ini mengecewakan bukan sahaja pemimpin kerana janji yang diberikan tidak tertunai dengan lancar, bahkan rakyat Sarawak kecewa kerana kepentingan mereka dan negeri terabai.

Pemimpin dan rakyat Sarawak sedar bahawa pembangunan tidak seimbang di wilayah Sarawak dan Sabah berbanding Semenanjung.

Justeru sewajarnya Kerajaan Persekutuan yang memerintah memperuntukkan belanjawan lebih besar untuk membangunkan negeri ini yang nyata ketinggalan – sama ada untuk rakyat bandar atau luar bandar lebih-lebih lagi di pedalaman.

Sarawak mempunyai peruntukan dan belanjawan sendiri untuk membangunkan negeri ini sebagaimana diluluskan Dun.

Namun menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Malaysia dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) untuk memperuntukkan belanjawan bagi projek pembangunan serta pendidikan. Biar setia menunggu Kerajaan Persekutuan menjalankan tanggungjawabnya selama 22 bulan, Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg tetap tidak mengabaikan kesejahteraan rakyat.

Abang Johari dan jenteranya mengambil sikap bertanggungjawab meneruskan projek penting termasuk pembangunan infrastruktur seperti jambatan dan sekolah daif serta pembangunan luar bandar sambil berusaha mendapatkan kos secukupnya.

Kepentingan Sarawak diutamakan – Foto Bernama

Kini, ketika kerajaan baharu di Putrajaya bertukar semula, Kerajaan Sarawak sedia menuntut lebih banyak projek untuk dilaksanakan di negeri ini seperti dijanjikan sebelumnya.

Abang Johari menegaskan Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinannya komited memastikan projek pembangunan khususnya projek jambatan dilaksanakan demi faedah rakyat di negeri ini.

Antaranya Jambatan Batang Rambungan, Kuching; Jambatan Batang Saribas, Betong; Jambatan Batang Krian; Jambatan Betong; Jambatan Kuala Kemena, Bintulu; Jambatan Batang Lassa, Mukah dan Jambatan Batang Paloh, Mukah.

Abang Johari selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Jalan Sungai Maong ke Segedup berkata, Kerajaan Sarawak menuntut lebih banyak projek daripada Kerajaan Persekutuan bagi menggantikan projek jambatan yang sudah dibatalkan.

Tentulah nilai projek dituntut sepadan dengan jumlah kos keseluruhan yang sudah dibiayai Kerajaan Negeri. Setelah melihat semua hal yang berlaku, jelaslah betapa pentingnya negara mempunyai iklim politik yang stabil.

Kini Sarawak fokus melaksanakan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang sebahagiannya dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dan akur pada peruntukan Perlembagaan dan MA63. Sementara sebagai Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab, kepemimpinan Abang Johari tetap berusaha mencari alternatif ketika adanya halangan di hadapan.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak