Seorang pegawai bomba maut terlibat kemalangan

KUCHING: Seorang pegawai bomba meninggal dunia setelah motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan jalan raya di Batu 35, Jalan Serian-Kuching, di sini, hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Nickson Empary Gawan, 33, merupakan salah seorang anggota yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, mendiang disahkan meninggal dunia serta merta dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 6.30 petang.

Nickson Empary Gawan

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, siasatan mendapati kemalangan melibatkan motosikal ditunggang mangsa bersama sebuah lagi kenderaan jenis kancil dipandu oleh seorang pembantu perubatan berusia 55 tahun.

Dedahnya, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca setelah motosikal yang ditunggang mangsa melanggar bahagian belakang kereta kancil ketika kedua-dua kenderaan terbabit bergerak sama dari arah Serian menuju ke arah Kuching.

“Akibat kejadian penunggang maut serta merta di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan juga badan.

“Sementara itu, pemandu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, kedua-dua kenderaan turut ditahan bagi pemeriksaan daripada pihak PUSPAKOM.

Sehubungan itu, jelasnya, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak(HUS) untuk tindakan siasatan lanjut.

Ujarnya, kes masih lagi disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak