Spa, pusat refleksologi di Sarawak dibenar beroperasi mulai hari ini – Uggah

KUCHING: Semua spa, pusat refleksologi dan urut kaki di Sarawak dibenarkan beroperasi kembali bermula hari ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri I berkata Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak telah menetapkan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang diperlu dipatuhi oleh semua pusat berkenaan.

“Selain itu, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan kebudayaan Sarawak (MTAC) telah menetapkan garis panduan untuk pelancongan perubatan di negeri ini berkuat kuasa serta-merta.

“MTAC juga telah menetapkan SOP untuk penganjuran seperti mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE), pameran pelancongan dan perdagangan, bazar serta karnival kesenian dan kebudayaan berkuat kuasa serta-merta,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini.

Sementara itu, Uggah berkata semua warga Malaysia dari luar negara termasuk warga asing yang transit di Lapangan Terbang Antarabangsa KL untuk ke Sarawak akan dikuarantin 14 hari di destinasi terakhir mereka tiba di Sarawak.

“Jika keputusan mereka negatif, mereka akan dipasangkan dengan gelang tangan  dan menyambung baki kuarantin mereka di rumah dan seterusnya pada hari ke-10 ujian COVID-19 akan diambil sekali lagi.

“Bagi warganegara Malaysia dari Semenanjung, Sabah dan Labuan (termasuk warga asing yang sudah berada di Malaysia), mereka akan diambil sampel secara rawak ujian COVID-19 di pintu masuk utama negeri Sarawak,” katanya.

 


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak