Tentera darat rancang bina kem di Bakun

KUCHING: 1 Divisyen Infantri merancang membina sebuah kem di Bakun bagi mengukuhkan kawalan keselamatan di kawasan empangan Hidroelektrik Bakun.

Panglima 1 Divisyen Infantri Mejar Jeneral Datuk Dzulkafli Mustapha berkata kem berkenaan akan menempatkan sekurang-sekurangnya satu kompeni anggota dari Rejimen Sempadan.

“Kini kami masih menunggu keputusan Sarawak Energy Berhad (SEB) dan difahamkan Kerajaan Sarawak sudah memberi maklum balas positif berhubung penyediaan tapak untuk membina kem ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perbarisan Hari Ulang Tahun ke-54 1 Divisyen Infantri di Padang Kawad, 4 Kor Armor Diraja, di sini kelmarin.

Sementara, Dzulkafli berkata 1 Divisyen Infantri, Tentera Darat telah berjaya merampas sejumlah barangan seludup bernilai RM2.54 juta di sempadan Sarawak-Kalimantan Barat bagi tempoh Januari hingga Jun ini.

Menurutnya kejayaan itu adalah hasil rondaan dan sekatan dalam beberapa operasi yang dijalankan, antaranya Op Awas/Keris Parang dan Op Jaga Kawan. Beliau berkata barangan seludup yang dirampas itu termasuk kenderaan, dadah dan barangan terkawal.

Dzulkafli menambah 1 Divisyen Infantri juga telah terbabit dalam Op Benteng yang dilaksanakan bersama agensi lain. Antaranya Pasukan Gerakan Am, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Jabatan Kesihatan.

Katanya seramai 24 pegawai dan 539 anggota dari pasukan di bawah naungan 1 Divisyen Infantri terbabit dalam Op Benteng ketika ini. “Dalam operasi ini, kami mengusir pendatang asing tanpa izin (Pati) yang cuba memasuki negeri ini melalui jalan tikus di sempadan.

“Sepanjang penugasan di sempadan juga, kita mendapati kegiatan penyeludupan kenderaan dan barangan berskala besar dilakukan di tanah persendirian, tetapi kami dapat menanganinya dengan menjalankan beberapa tangkapan termasuk menahan pihak yang membawa masuk Pati,” katanya.

Beliau berkata sebahagian besar kegiatan itu dilakukan di sempadan Malaysia-Indonesia di kawasan Biawak, Lundu.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak