Terima kasih Sub lnspektor Ngalinuh

MIRI: Tahun demi tahun, kita menyambut Hari Sarawak dengan penuh syukur sehingga kini ia menjangkau usia 57 tahun dan sepanjang tempoh itu pelbagai pembangunan dan kejayaan dikecapi Sarawak.

Namun, semua yang kita miliki hari ini mungkin sekadar mimpi jikalau bukan kerana pejuang yang telah bertungkus-lumus melindungi Bumi Kenyalang ini.

Bukan setakat memerah keringat, malah mereka bersiap sedia mengorbankan nyawa semata-mata untuk mempertahankan tanah air.

Mengenang kembali kisah perjuangan pahlawan negara yang meninggalkan kita saban tahun, Hari Sarawak pastinya salah satu hari istimewa untuk mengingati jasa pengorbanan mereka selama ini.

Sebagai warga Miri, tahun ini menjadi lebih bermakna apabila Miri julung kali dipilih sebagai tuan rumah untuk sambutan Hari Sarawak ke-57.

Bukan itu sahaja, apabila ia diumumkan akan diadakan di sini, ketepatan waktu itu dilihat amat bersesuaian kerana tahun ini juga merupakan tahun pemergian seorang pahlawan negara, Sub Inspektor (B) Ngalinuh Bala @ Kilah Atu, 79, berbangsa Kelabit yang menjadi kebanggaan masyarakat tempatan.

Beliau merupakan penerima pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 6.47 petang 23 Jun lalu akibat komplikasi paru-paru dan kencing manis di Hospital Miri.

Wira negara berasal dari Kampung Pa’lungan, Bario itu yang lahir pada 1 Januari 1941, salah seorang daripada enam penerima pingat tertinggi kepahlawanan negara dari Sarawak.

Lima yang lain ialah Lengku Cina, Rasli Buang, Etim Bijam, Inspektor Reggie Deli dan Datuk Kanang anak Langkau.

Ngalinuh mendapat pingat tersebut selepas terlibat dalam pertempuran dengan sekumpulan pengganas komunis dalam serangan hendap pada 29 April 1972.

Beliau yang pada ketika itu berpangkat koperal bersama-sama empat anggota ditugaskan mengiringi pekerja JKR yang membawa bahan letupan untuk tujuan pemecahan batu dari Batu 14 ke kuari Mubal Batu 54 Jalan Ulu Oya, Sibu.

Dalam insiden sekitar jam 1 petang itu, Ngalinuh dengan beraninya memimpin pasukan bertahan dan memastikan tiada pekerja awam cedera, dan bahan letupan yang dibawa tidak dirampas.

Beliau menunjukkan keberanian luar biasa pada ketika itu kerana bertindak menyerbu tempat musuh.

Akhirnya beliau berjaya membunuh salah seorang pengganas komunis walaupun mengalami kecederaan terkena tembakan di bahagian paha sebelum kumpulan pengganas berjaya melarikan diri susulan ketibaan pasukan bantuan.

Mungkin wajah Sarawak tidak semegah sekarang kalau bukan kerana keberanian mereka.

Penganugerahan pingat kepada Ngalinuh berlangsung pada 6 Julai 1972. Pada 1 Januari 1983, beliau dinaikkan pangkat sebagai Sarjan Mejar dan seterusnya 1 Januari 1999 sebagai Sub Inspektor sehingga bersara pada 31 Disember 1995.

Pada 23 Jun 2020, Ngalinuh meninggalkan seorang balu Sinah Ngalinuh Bala, 73, lima anak, sembilan cucu dan seorang cicit. Ketika menemui anak mendiang, Elvis Bala, 49, semasa majlis penghormatan terakhir di kediaman mereka pada 24 Jun lepas, jelas terpancar kesedihan, namun terselit kebanggaan pada wajahnya.

Antara kata-kata Elvis yang terpahat di memori pada masa itu, beliau menyuarakan kenekadan untuk menceritakan kisah perjuangan dan sejarah kepahlawanan mendiang kepada generasi muda.

Seandainya cerita pahlawan dibiarkan terbenam tanpa dikisahkan kepada generasi baharu, maka apalah erti Hari Sarawak kepada generasi muda akan datang? Adakah ia semata-mata sambutan sesuatu tarikh tanpa semangat patriotik? Kita perlu ingat, siapalah kita hari ini tanpa pengorbanan mereka.

Mungkin wajah Sarawak tidak semegah sekarang kalau bukan kerana keberanian mereka.

Sesungguhnya, sambutan Hari Sarawak bukanlah hanya untuk bersuka ria dan meraikannya dengan pelbagai aktiviti hiburan sahaja.

Sebaliknya inilah masa untuk mempelajari sejarah tanah air dengan meluaskan sedikit masa mencari bahan bacaan, tidak kira di Internet atau buku.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak