Teroka cabaran, peluang melalui Webinar 18 Julai

SIBU: Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) bersama-sama Persatuan Graduan Dayak Sarawak (SDGA) akan menganjurkan Webinar bertajuk ‘Community Resilience In The Midst of The Covid-19 Pandemic’ yang julung kali diadakan membabitkan golongan akademik terkemuka Dayak pada 18 Julai ini jam 8 malam.

Dalam kenyataan bersama SIDS-SDGA semalam, Presiden SIDS, Datuk Ir. Alice Jawan akan berucap dalam perasmian di Webinar SIDS-SDGA Ke-1 itu.

Jelas kenyataan itu, kemuncak Webinar ini ialah tiga penceramah, Profesor Dr Jayum Jawan, (Ketua dan Dekan Penyelidik Tan Sri Empiang Jabu, Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains UPMKB), Profesor Bersekutu, Dr Madeline Berma (Fellow Academy of Sciences Malaysia) dan Fiona Marcus Raja (Pengarah Urusan Borneo International Exhibition dan Founder of Tenun).

Sesi ini akan dikendalikan oleh Naib Presiden SDGA Dr. Florianna Lendai, ujarnya.

Objektif webinar ini katanya, adalah untuk menerokai cabaran, peluang dan nilai komuniti bersama dalam masa wabak ini.

“Ia juga menggalakkan pemahaman yang lebih baik mengenai aspek yang berkaitan dengan ketahanan masyarakat,” jelasnya.

Kenyataan itu berkata, dalam Webinar dalam talian, penceramah akan menjelaskan beberapa inisiatif dalam bidang kelestarian masyarakat sebagai sokongan kepada Sarawak.

Pada Webinar ini, katanya, orang ramai akan diberi motivasi dan dorongan melalui inisiatif positif yang dikongsi oleh penceramah.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan oleh kerajaan Malaysia pada 18 Mac lalu kerana wabak Covid-19 telah mempengaruhi ekonomi, sosial, pelbagai komuniti dan kehidupan masyarakat, tegas kenyataan itu lagi.

Mengulas lanjut, kedua-dua persatuan itu telah secara aktif melibatkan masyarakat Dayak di Sarawak untuk maju bersama sebagai sebuah komuniti, untuk mendorong status yang lebih baik dalam masyarakat, kesejahteraan dan menjadi sosioekonomi yang lebih baik melalui banyak inisiatif.

“SIDS dan SDGA berharap sekurang-kurangnya 200 peserta akan mendaftar ke Webinar dan sekarang ini kami mempunyai sekitar 98 peserta berdaftar.

“Pendaftaran ke Webinar kini dibuka di bit.ly/ TogetherSIDSSGDA2020 dan ia telah diiklankan melalui media sosial SIDS dan SDGA.

Semua dialu-alukan,” tambah kenyataan itu lagi.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak