SAMBUTAN Aidiladha pada tahun ini, benar-benar sukar dilupakan disebabkan pandemik Covid-19.

Seluruh dunia terkesan dengan kelaziman baharu menjadi tatacara kehidupan pada tahun ini dan masih perlu diamalkan.

Keputusan Arab Saudi menutup Makkah meskipun tidak mengejutkan, tetapi cukup perit diterima oleh umat Islam.

Terutama golongan terpilih oleh agensi agama negara masing-masing.

Nampaknya mereka terpaksa pasrah menerima keputusan ini dan akur faktor kesihatan dan keselamatan ummah wajib menjadi keutamaan.

Ibadah haji pernah ditutup 40 kali disebabkan beberapa ancaman wabak, antaranya wabak taun (1814), wabak Hindi (1831) epidemik (1937), wabak kolera (1846 dan 1892) dan terakhir wabak miningtis (1987).

Namun, penutupan Makkah pada kali paling dirasai kerana melibatkan seluruh dunia.

Sekurang-kurangnya ibadah haji masih dapat dilaksanakan oleh 10,000 warga tempatan dan asing bermastautin di Arab Saudi meskipun tertakluk kepada peraturan dan undang-undang ketat bagi mengekang penularan Pandemik.

Ibadah haji menjadi kemuncak kepada segala ibadah perlu terus dihidupkan dan dilaksanakan sebagai syiar kekuatan umah Islam.

Kita mengharapkan agar jemaah haji yang terpilih setelah menunggu giliran sekian lama agar terus tabah dan bersabar dengan ujian Allah SWT.

Sudah pasti ada hikmah tersembunyi dan Allah SWT pasti memberikan balasan yang lebih baik atas kesabaran dan reda dengan ketentuan-Nya.

InsyaAllah, Allah SWT memudahkan mereka pada tahun akan datang.

Sementara itu, kita berusaha meraih pahala dengan memperbanyak amalan sunat, antaranya memperbanyak membaca alQuran, bangun malam qiyamulail, berzikir, bersedekah, berpuasa sunat dan sebagainya.

Daripada Abi Qatadah RA, Rasulullah SAW bersabda apabila ditanya tentang puasa pada hari Arafah, maksudnya: “puasa pada hari tersebut menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang.” (hadis riwayat Imam Muslim) Kemuncak ibadah korban sudah tentu mengorbankan haiwan korban untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Ibadah korban sentiasa dilaksanakan oleh umat Islam turut terkesan dengan pandemik ini.

Berikutan kenaikan kos haiwan korban, dan kos pengurusan, perlaksanaan ibadah korban mengalami sedikit penurunan berbanding tahun sebelumnya.

Ini bagi memenuhi prosedur operasi standard (SOP) pihak berkuasa agama.

Pihak penganjur perlu mengehadkan bilangan petugas, memastikan penjarakan sosial dan SOP lain yang agak ketat.

Meskipun bilangan haiwan korban mungkin berkurang, tetapi semangat ingin melaksanakannya tidak pernah berkurang.

Bagi mampu melaksanakannya, mereka beruntung kerana antara insan terpilih Allah SWT meraih kelebihan pahala melakukannya pada saat-saat sukar.

Nabi SAW bersabda: “Tiada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada hari al-Nahr (Aidiladha) yang lebih dicintai Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban).

Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan mendapat reda Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan ibadah berkorban).” (maksud hadis Imam Tirmizi)

Namun di sebalik semua ini, sambutan Aidiladha tetap hari yang istimewa.

Solat sunat Aidiladha dapat dilakukan dengan bilangan jemaah terhad dan tertakluk kepada SOP yang kini sudah menjadi kelaziman.

Berbeza dengan solat sunat Aidilfitri lepas yang hanya dapat diadakan di rumah sendiri.

Kunjungan dan ziarah sempena Aidiladha juga dibenarkan berdasarkan SOP.

Malah perjalanan rentas negeri juga masih dibenarkan bagi membolehkan orang ramai balik kampung.

Pendek kata, sambutan pada kali disambut dengan sedikit kelonggaran kepada kelaziman dan norma baru.

Akhir sekali, penulis dan rakan barisan kepemimpinan PDMK mengucapkan selamat menyambut Aidiladha dan semoga Allah SWT menerima semua amalan kita dan menyelamatkan kita daripada pandemik Covid-19 yang melanda di seluruh dunia.