EMPAT peristiwa penting berlaku minggu ini, pada hari dan di tiga negeri berbeza. Tiga daripadanya melibatkan isu politik dan satu lagi peningkatan kes Covid-19.

]Pertama, mengenai peningkatan kes Covid-19 di Kuching. Sehingga jam 4.30 petang Rabu, dua kes positif Covid-19 dilaporkan. Daripada jumlah itu, Daerah Kuching dan Serian masing-masing satu kes. Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Sarawak ialah 677 kes.

Bagaimanapun, sehingga jam 5.27 petang Khamis, tiada kes positif Covid-19 dilaporkan. Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Sarawak kekal 677 kes. Berikutan keputusan pada jam 4.40 petang Rabu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memutuskan beberapa keputusan melibatkan secara khusus mengenai pergerakan pelajar sekolah dan pelajar matrikulasi.

Antaranya pergerakan pelajar matrikulasi ke Semenanjung, Sabah dan Labuan, dengan bantuan Sarawak Volunteer bagi pelajar yang tiba di lapangan terbang hingga ke destinasi pusat matrikulasi. Ia melibatkan 1,145 pelajar Sarawak yang mendapat tawaran di 16 matrikulasi seluruh Malaysia.

Kedua ialah pelanjutan dan penangguhan pembukaan semula sesi persekolahan sekolah rendah iaitu murid tahun satu hingga enam dan sekolah menengah daripada kelas peralihan, tingkatan satu hingga empat dan tingkatan enam rendah.

Sebelum ini, sesi pembukaan semula sesi persekolahan di Kuching, Padawan dan Samarahan untuk 164 sekolah ialah pada 3 Ogos tetapi ditangguhkan kepada 17 Ogos.

Keputusan ini dicapai selepas mendapat nasihat Jabatan Kesihatan Sarawak, Majlis Keselamatan Negara dan persetujuan bersama semua pihak termasuk wakil Kementerian Pendidikan Malaysia (Jabatan Pendidikan Sarawak) dan JPBNS.

Namun, bagi prasekolah, tingkatan lima dan enam atas, sesi persekolahan diteruskan seperti biasa.

Bagi jabatan dan agensi di bawah kategori perkhidmatan penting, mereka perlu membawa salinan kelulusan daripada ketua jabatan masing-masing sebagai syarat untuk bergerak dari zon satu ke zon dua serta sebaliknya.

Keempat, semua pergerakan dari zon satu ke zon dua dan sebaliknya perlu mendapat kebenaran PDRM terlebih dahulu sebelum membeli tiket perjalanan seperti penerbangan domestik; pergerakan menggunakan bas dan pergerakan menggunakan bot ekspres.

Seterusnya ialah isu politik. Pertama ialah pengumuman peletakan jawatan Adun Padungan Wong King Wei daripada DAP. Tindakan King Wei agak mengejutkan seperti kata Presiden SUPP Datuk Seri Dr Sim Kui Hian. Menariknya adalah ketegasan King Wei mengenai pendiriannya untuk tidak dicalonkan semula sebagai calon DAP Padungan dalam PRN akan datang.

Ini disebabkan menurut King Wei, terdapat perbezaan pendapat antara ahli DAP yang tidak dapat dicapai dengan kata sepakat. Beliau turut kecewa dengan kegagalan DAP memenuhi matlamat politik ketika dipilih sebagai parti pemerintah di peringkat Persekutuan.

Janji-janjji yang dibuat kepada rakyat juga gagal dipenuhi. Hal ini amat menarik untuk dilihat kerana berdasarkan perbualan santai saya dengan beberapa pengundi bangsa Cina, kepercayaan kepada DAP semakin berkurangan kerana mereka tidak mengotakan apa-apa yang dijanjikan kepada pengundi.

Ada juga informan memaklumkan perjuangan DAP sekarang jauh berbeza disebabkan pengaruh rasisme DAP di Semenanjung. Apakah keadaan ini akan digunakan sebaik-baiknya oleh mana-mana parti politik di Sarawak yang bakal bertembung dalam PRN dan PRU yang diuar-uarkan diadakan serentak tahun ini?

Apakah SUPP atau mana-mana parti politik lain mampu merampas semula beberapa kerusi DAP pada PRN kelak? Kejutan kedua minggu ini ialah masalah politik di Sabah. Dun Sabah dibubar.

Pembubaran itu diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafi e Apdal pada sidang media khas selepas diperakukan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Krisis politik Sabah mencapai kemuncak petang Rabu, apabila mantan Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman mendakwa mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk Kerajaan Negeri di bawah gabungan baharu. Gabungan baharu itu membabitkan Umno, Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang menyokong Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Peristiwa ini mengingatkan peristiwa pada Februari lalu yang dikatakan berlakunya “rampasan kerajaan pintu belakang” daripada PH kepada PN. Dengan pembubaran Dun Sabah, bermakna mandat kembali diserahkan kepada rakyat untuk menentukan siapa yang layak membentuk Kerajaan Negeri baharu.

Menariknya, bagaimana PH berjaya merampas kuasa politik daripada BN pada 2018 melalui demokrasi iaitu PRU ke-14, tetapi “digulingkan” oleh PN pada awal 2020. Warisan yang menjadi sebahagian PH berjaya bertahan dengan sendiri ketika pemerintahan PH diambil alih oleh PN.

Petang semalam, sekali lagi menyaksikan kelicikan politik PN di dalam winner takes it all dengan cuba untuk meraih semula undi rakyat. Keadaan yang berlaku di Sabah seakan-akan memberikan gambaran mengenai politik yang berlaku di Semenanjung iaitu Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berhasrat menyertai Muafakat Nasional (MN) yang dianggotai Umno dan Pas.

Sebarang keputusan, mesti melibatkan persetujuan dua parti politik besar ini. Tambahan pula, Umno juga telah membuat keputusan tidak menyertai PN, sebaliknya komited memperkasakan MN bersama-sama Pas dan komponen BN.

Bagaimanapun, sokongan kepada Kerajaan PN hanya berlandaskan sokongan ahli-ahli parlimen Umno dan BN serta Adun dalam pembentukan Kerajaan Pusat dan di beberapa negeri.

Apakah dengan kesepakatan Umno+Pas yang diberikan keutamaan bagi memperkukuhkan dua parti berkenaan menyebabkan Presiden Bersatu beralih arah?

Keadaan politik yang agak kucar-kacir di Semenanjung dan Sabah memberikan satu indikator bahawa political will yang muktamad adalah di tangan rakyat. Rakyat sudah tahu menilai. Jangan jadikan rakyat sebagai suara yang hilang dek kerana kelicikan ahli-ahli politik yang mengaburi mata pengundi. Tepuk dada tanyalah hati, siapakah pilihan pengundi?

Dr. Nadrawina Isnin ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Sarawak