BAGI umat Islam khususnya, menjejak kaki ke tanah suci menunaikan ibadat haji merupakan perkara paling diidam-idamkan.

Perkataan haji berasal daripada bahasa Arab iaitu haji yang membawa maksud dari sudut istilah syarak menziarahi tempat tertentu pada masa tertentu dengan melakukan pekerjaan tertentu bagi menunaikan kewajipan agama.

Ibadah haji merupakan rukun kelima yang wajib dilaksanakan seperti dinyatakan dalam Rukun Islam.

Indahnya tentang amalan ibadat haji, seperti diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mengerjakan haji dan dia tidak mencampuri isterinya serta tidak melakukan maksiat, dia akan kembali sebagaimana hari dia dilahirkan oleh ibunya”.

Namun, terdapat beberapa syarat wajib sebelum menunaikan haji iaitu Islam, berakal, berkemampuan, merdeka dan baligh.

Berkemampuan tersebut bermaksud individu tersebut selamat tubuh badan, aman perjalanan, tidak ditahan, terdapat mahram atau suami bagi perempuan dan tidak berada dalam idah bagi perempuan.

Di samping itu, tahukah anda, terdapat beberapa keistimewaan dan kelebihan bagi mereka yang menunaikan ibadat haji?

Kelebihan orang mengerjakan ibadat haji, mereka dapat memperoleh pelbagai ganjaran pahala daripada Allah SWT.

Antara ganjaran menunaikan ibadah haji ialah mendapat haji mabrur.

Jemaah yang menunaikan ibadat haji dengan sempurna, mereka dapat memperoleh pengampunan dosa dan haji mabrur tiada lain ganjarannya kecuali syurga.

Selain itu, mengerjakan haji merupakan satu bentuk jihad bagi semua umat Islam tanpa mengira usia, jantina atau fizikal seseorang.

Terhapus Dosa

Setiap manusia tidak lari daripada membuat kesilapan, namun beruntungnya mereka yang menunaikan ibadat haji kerana segala dosa silam terhapus sekiranya mereka melaksanakan ibadat tersebut tanpa cacat cela serta mengikut segala syarat, rukun, wajib dan adab haji.

Malah, mereka diberi peluang menunaikan haji di tanah suci adalah tetamu agung Allah SWT dan mendapat kemuliaan daripada-Nya.

Di samping menunaikan ibadat haji, umat Islam turut meraikan Aidiladha atau dikenali sebagai Hari Raya Korban.

Perayaan Hari Raya Korban merupakan penanda berakhirnya musim haji ke Makkah.

Garis Panduan Ibadat Korban Ekoran

Penularan pandemik Covid-19, penganjuran ibadat korban pada tahun ini perlu mematuhi garis panduan ditetapkan Majlis Islam Sarawak (MIS).

Antara garis panduan tersebut ialah mewujudkan jawatankuasa pengelola dan pendaftaran dengan Pejabat Agama Islam Bahagian bagi pihak masjid dan surau yang berniat menjalankan korban.

Pihak masjid dan surau tersebut perlu mendapatkan permit penyembelihan ternakan daripada Pejabat veterinar atau mana-mana Pejabat Veterinar Daerah.

Dari segi pembekal binatang korban pula, mereka harus mendapatkan sijil kesihatan veterinar daripada pejabat veterinar atau mana-mana Pejabat Veterinar Daerah.

Meskipun ibadat korban dibenarkan, tetapi masyarakat harus sentiasa mematuhi bilangan individu dibenarkan bagi mengelak keadaan sesak dengan kehadiran orang ramai.

Bagi penyembelihan hanya dibenarkan 10 individu, 20 individu melapah, 10 individu pemotongan, penimbangan dan bungkusan, manakala peserta dan penerima hanya dibenarkan 20 orang maksimum.

Mana-mana individu yang disahkan Covid-19 atau baru sembuh dengan notis kuarantin atau mempunyai gejala dilarang hadir.

Tapak penyembelihan mestilah sesuai, bersih dan selamat serta tidak berhampiran saliran awam (parit dan longkang) dan dibenarkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).