APABILA bersahabat, pastinya setiap orang mengharapkan yang terbaik, sentiasa ada di kala senang mahupun susah, ketika muda atau tua.

Seseorang itu pastinya bertuah jika mendapat sahabat serupa itu.

Bagaimanapun, menjadi lumrah kehidupan tidak semua yang diimpikan akan kita peroleh termasuk sahabat sejati.

Namun kisah empat sahabat sejati dari Kampung Melayu Betong menjadi inspirasi bersempena sambutan Hari Persahabatan Sedunia tahun ini.

Mereka bersahabat lebih 44 tahun sejak menjejakkan kaki di bangku sekolah pada 1976.

Salah seorang mereka Dayang Madinah Abang Yaman mengakui, erti dan nilai persahabatan itu tiada bandingan jika ikatan tersebut disulam dengan rasa sayang antara satu sama lain.

Menurutnya, apabila rasa itu kuat, ia sukar untuk hilang biarpun masing-masing sudah mempunyai keluarga sendiri.

“Hubungan saya dengan Yazidah Drahman, Dayang Norlela Abang Yakup dan Mariam Edit begitu unik.

“Tidak kenal status dan kami menjadi sahabat baik sejak di bangku sekolah rendah (SK Abang Abdul Kadir).

“Alhamdulillah kekal sehingga ke hari ini walaupun sudah menghampiri setengah abad. Saya berdoa persahabatan kami bertahan ke jannah,” katanya.

Bercerita lanjut kepada Suara Sarawak, walaupun masing-masing sudah berumur 51 tahun dan memiliki kehidupan masing-masing, tetapi ia tidak membataskan untuk empat sekawan itu terus mengukuhkan hubungan.

“Walau sibuk bagaimana sekalipun, mesti ada masa untuk duduk bersembang bersama… paling tidak pun melepak menerusi aplikasi WhatsApp.

“Ini penting untuk memelihara kemesraan dan keserasian supaya kekal segar.

“Lebih menarik, kami sering berkongsi cerita suka dan duka dan menjadikan kami lebih serasi terutamanya tatkala mengenang zaman persekolahan yang penuh warna-warni dan kenakalan,” ujarnya.

Madinah yang juga Penyelia Pembangunan Komuniti Kemas untuk kawasan Saribas menambah, antara kisah yang tidak dapat dilupakan ketika dihukum di dalam makmal kerana terlalu suka bergurau.

“Pernah pulang lebih awal kerana takut ditinggal bas… macam-macam lagi kisah. Maka, setiap kali bertemu kami akan mengimbau kembali kisah tersebut.

“Bersempena Hari Persahabatan Sedunia, saya berharap tali silaturahim antara kami terus kekal sehingga ke syurga.

“Sesungguhnya, ikatan persahabatan sebenar bukan diukur daripada satu persepsi sahaja sebaliknya bersifat menyeluruh yang mana perlu ada rasa kasih sayang, ikhlas, prihatin…ada masa suka dan duka. Itulah azimat keakraban persahabatan kami,” jelasnya.

Beliau mengingatkan, mempereratkan tali persahabatan harus dengan menjadi pendengar yang baik, saling menghargai dan menyayangi, menerima seadanya, jujur, jangan menyombongkan diri, juga jangan hanya memfokuskan diri sendiri dan paling penting elakkan memburukan antara sama lain.