SARAWAK komited membangun terus prasarananya demi keperluan rakyat dan kemajuan negeri ini.

Dengan menyediakan kemudahan prasarana seperti jalan raya dan laluan penting, penjanaan ekonomi negeri serta ekonomi rakyat terus diperhebatkan dan dirancakkan.

Di bawah Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo oleh Kerajaan Persekutuan diteruskan. Manakala, Sarawak sendiri membangunkan jalan raya pesisir pantai dan laluan utama kedua menelan kos RM11 bilion.

Bahkan, Kerajaan Sarawak terus memberi perhatian serius dan menyemarakkan kemajuan serta pembangunan kawasan pedalaman di negeri ini. Kerajaan Sarawak melaksanakan pelbagai projek prasarana dan kemudahan menelan kos RM4.5 bilion direalisasikan Agensi Pembangunan Ulu Rajang (Urda), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) dan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA).

Memenuhi komitmen menyediakan liputan meluas Internet di seluruh negeri, Kerajaan Sarawak terus gigih mendirikan menara telekomunikasi khususnya di luar bandar dan pedalaman. Setakat ini 170 menara telekomunikasi didirikan di seluruh negeri.

Menggapai negeri maju sedekad lagi menjelang 2030, Kerajaan Sarawak komited mengisi setiap ruang dan peluang untuk terus mara ke depan. Abang Johari optimis melakarkan pendapatan isi rumah di negeri ini meningkat dan dicapai melalui program ekonomi yang dirancang oleh kerajaan di bawah pentadbiran beliau.

Ketika ini kerajaan membangunkan ekonomi berasaskan industri petrokimia di Tanjong Kidurong Bintulu berkeluasan 1,000 ekar. Kini, kerja penyediaan tapak membangunkan kilang metanol menelan kos RM3.74 bilion giat dilaksanakan dan syarikat antarabangsa mengesahkan melabur RM24 bilion untuk projek berkenaan.

Sementelahan, industri hiliran minyak dan gas ini dijangka memberi peluang pekerjaan kepada 74,000 orang.

Sesungguhnya Sarawak antara penyumbang terbesar KDNK negara dengan hasil minyak dan gas Sarawak menjadi penyumbang besar kepada pendapatan negara.

Seperti dikehendaki oleh rakyat, situasi harus diperbetulkan agar pencapaian KDNK dan sebagai negeri penyumbang besar pendapatan negara ini dapat diterjemahkan kepada kekayaan yang turut dimiliki oleh rakyat.

boccari

Sebagai anak Sarawak, menjadi kewajipan setiap rakyat memelihara kepentingan dan hak Sarawak sendiri. Rakyat dan pemimpin di negeri ini harus berganding tangan mengorak langkah membawa pembangunan negeri ini menuju kemajuan 2030.

Ketika ini, rakyat masih perlu menerima hakikat bahawa masih banyak ruang perlu diperbaiki, masih banyak pembangunan perlu diteruskan dan diperbaiki.

Luar bandar dan pedalaman masih perlu dipertingkatkan kemudahannya termasuk elektrik, air, jalan raya, telekomunikasi dan sebagainya untuk merapatkan jurang dengan bandar.

Di hujungnya nanti, kita yakin mencapai sasaran menyatukan kawasan terpencil dengan pekan dan bandar. Di sinilah sikap kesamaan pemimpin dan rakyat dituntut untuk membawa negeri ini mencapai cita-cita menjadi negeri maju.