USAHA pengukuran tanah hak adat bumiputera (NCR) bukanlah perkara baharu kerana telah dimulakan sejak 1960-an lagi.

Pengukuran telah dijalankan melalui program-program seperti Operasi Penyelesaian, Pengukuran Bahagian III Kanun Tanah Negeri dan Pengukuran Kampung Tradisional, sebelum Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu diperkenalkan pada 2010.

Melihat kepada kaedah-kaedah terdahulu, ia agak kurang efisien kerana dalam tempoh sekitar 50 tahun sejak 1960-an sehingga 2010, hanya seluas lebih kurang 260,000 hektar atau 642,460 tanah NCR yang berjaya diselesaikan.

Ini bermakna secara purata hanya seluas 5,200 hektar tanah NCR dapat diukur setahun. Bagi Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu pula, kaedah ini didapati lebih efisien, yang dilaksanakan secara dua peringkat.

Peringkat pertama ialah pengukuran perimeter dan pewartaan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri sebagai Rizab Komunal Bumiputera Pertanian. Manakala peringkat kedua melibatkan pengukuran secara lot individu dan pengeluaran surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri.

Kaedah baharu ini lebih efisien sekali gus memberi impak yang besar merangkumi semua kaum Bumiputera di seluruh Sarawak. Ini dibuktikan melalui pencapaian kerja ukur seluas lebih kurang 934,288 hektar atau 2.3 juta ekar telah berjaya diukur perimeter melalui peringkat pertama.

Daripada jumlah tersebut, seluas sekitar 753,456 hektar atau 1.8 juta ekar telah pun diwartakan. Maknanya dengan kaedah baharu ini, tanah NCR dapat diukur secara puratanya seluas 103,809 hektar setahun.

Berdasarkan pencapaian ini, output pengukuran tanah NCR berjaya ditingkatkan hampir 20 kali ganda berbanding kaedah lama.

Sebenarnya pewartaan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri sebagai rizab komunal bumiputera adalah untuk mengenal pasti dan mengesahkan sempadan tanah NCR yang sahih serta didaftarkan dalam daftar tanah. Oleh itu, tiada lagi keraguan mengenai sempadan antara komuniti kerana sempadan yang telah diukur, ditanda dan diplotkan dalam pelan kadastra.

Maklumat ini boleh diakses dan dirujuk di mana-mana Pejabat Tanah dan Survei Bahagian atau secara dalam talian melalui eMap dan aplikasi LASIS. Sempadan yang jelas ini akan memudahkan pengukuran lot individu bagi pengeluaran surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri.

Namun, masih ramai lagi penduduk luar bandar yang seakan tidak yakin dan percaya dengan usaha kerajaan untuk mengiktiraf tanah mereka itu. Masih ada sesetengah orang yang berfikir kerajaan membuat pengukuran kerana ingin merampas tanah mereka.

Pemikiran sebegini tidak lain tidak bukan adalah hasil hasutan pihak yang tidak bertanggungjawab demi kelangsungan politik mereka. Mereka sanggup menipu penduduk kampung yang tidak tahu apa-apa untuk meraih sokongan politik daripada golongan berkenaan.

Justeru, para pemilik tanah dinasihatkan agar tidak khuatir kerana kerajaan sentiasa memastikan hak-hak mereka ini dipelihara. Ini jelas apabila kerajaan telah memperuntukkan dana yang besar bagi tujuan pengukuran tanah NCR untuk mengiktiraf hak rakyat ke atas tanah.

Tahun ini sahaja, Kerajaan Sarawak yang diterajui Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memperuntukkan sebanyak RM40 juta, manakala Kerajaan Persekutuan yang baharu di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin memperuntukkan sebanyak RM7.5 juta untuk tujuan itu.

Malah, kerajaan juga tidak memaksa pemilik-pemilik tanah untuk membuat pengukuran tanah masing-masing. Prosedurnya ialah sebelum kerja pengukuran di lapangan dilaksanakan, sesi dialog diadakan dengan penuntut-penuntut tanah untuk memberi penerangan dan maklum balas.

Pengukuran hanya akan dibuat setelah mendapat persetujuan dan sokongan penuntut tanah yang terlibat. Perlu diingatkan kerja pengukuran perimeter ini dilaksanakan berdasarkan permohonan dan permintaan penuntut tanah NCR sendiri. Jika tidak mahu tanah diukur, kerja pengukuran tidak akan dilaksanakan.

Begitu juga bagi kes-kes yang masih dalam pertikaian dan perbicaraan di mahkamah, kerja pengukuran tidak akan dilaksanakan kecualilah kes tersebut telah pun diselesaikan atau ditarik balik oleh mereka yang terlibat.

Namun, sekiranya mahu menyertai Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu, permohonan baharu perlu dikemukakan.

Paling penting, setiap pemilik tanah, baik daripada masyarakat Iban mahupun Bidayuh harus tahu bahawa tanah di kawasan yang telah diwartakan tersebut adalah menjadi hak eksklusif sebagai tanah NCR mereka.

Dengan adanya dokumen pemilikan dan persempadanan yang jelas, tiada siapa yang boleh mempertikaikan pemilikan ke atas tanah NCR tersebut.

Bahkan surat hak milik Seksyen 18 mempunyai keistimewaan iaitu pemilik tidak perlu membayar premium, cukai dan lain-lain fi selain tempoh pegangan adalah selama-lamanya.

Cuma hak pemilikan ini akan musnah jika pemilik menjual tanahnya. Diharapkan agar masyarakat di luar bandar mempunyai pandangan yang rasional serta pemikiran yang bijak untuk menilai sendiri usaha kerajaan ini.