WASHINGTON: Amerika Syarikat menyaksikan rekod mengerikan pada Rabu apabila jumlah kematian akibat jangkitan Covid-19 di negara itu melebihi 150,000, jauh melangkaui angka korban di negara lain yang dilanda pandemik.

Pada Rabu sahaja, dalam tempoh 24 jam AS merekodkan 1,267 kematian baharu dan lebih 68,000 kes harian baharu. Negeri-negeri selatan dan barat yang paling teruk dilanda terutama Florida, dengan lebih 6,300 orang maut.

Brazil berada di tempat kedua selepas AS dari segi jumlah kes dan angka korban turut melaporkan angka serius dengan lebih 90,000 kematian.

Negara-negara di seluruh dunia juga melihat peningkatan kes jangkitan, termasuk negara yang percaya mereka sudah berjaya membendung penyakit ini.

Peningkatan kes itu memaksa langkah perlindungan yang mengganggu semua aspek kehidupan dan merosakkan ekonomi.

Sementara itu di Arab Saudi, kira-kira 10,000 jemaah haji dibenarkan mengerjakan haji dengan protokol kesihatan yang ketat.

Bilangan jemaah tahun ini dikurangkan daripada kira-kira 2.5 juta orang tahun lalu disebabkan ancaman pandemik Covid-19.

Setakat ini, Covid-19 membunuh lebih 661,000 nyawa di seluruh dunia dan jumlah jangkitan menghampiri 17 juta.

Di Eropah, EU dijangka mengemas kini senarai negara untuk kebenaran perjalanan ke blok itu pada Khamis dan ia termasuk AS.

Senarai selamat EU termasuk Australia, Kanada, Georgia, Jepun, Maghribi, New Zealand, Rwanda, Korea Selatan, Thailand, Tunisia dan Uruguay.

Sementara itu, beberapa negara di Eropah mengenakan sekatan perjalanan masuk dan keluar dari Sepanyol.

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, yang mengumumkan kuarantin bagi pelancong yang kembali dari Sepanyol, mencadangkan seluruh Eropah mungkin menghadapi gelombang kedua. – AFP