KUCHING: Sarjan Kanang memulakan tembakan untuk mematahkan serangan komunis.

Ketika itu, saya berada dekat dengan beliau. Saya dapat mendengar dengan jelas beliau menekan picu M79.

Lebih empat musuh keluar melarikan diri. Tembakan tetap diteruskan. Itu antara pengalaman tidak dapat dilupakan oleh Mejar Bersara Micheal Riman Bugat, 69, ketika bertugas di sempadan Perak dan Pahang iaitu di kawasan Cameron Highland pada 1979 dalam usaha memerangi komunis pada waktu itu.

Menurutnya, dia sendiri turut ditembak komunis apabila peluru menembusi lengannya.

“Pertempuran berlaku dari jam 3.05 petang hingga 5 petang.

 

Musuh tetap menyerang, namun kami dapat membunuh lima komunis (empat lelaki dan seorang wanita).

Pencarian musuh yang dapat melarikan diri diteruskan oleh unit lain.

“Rakan saya Renjer Bahrudin pula ditembak semasa bersembunyi di sebalik sebatang pokok besar reput. Tembakan musuh mengenai dadanya.

Saya berada dekat dengannya… dia meminta pertolongan saya,” katanya kepada Suara Sarawak di rumahnya di Taman Desa Wira Lorong 11, Jalan Batu Kawa.

Ketika berada dalam 8 Renjer di Ipoh, Perak, dia juga tidak dapat melupakan pertempuran dalam Ops Setia di Gunung Bukit Korbu, Lasah Lintang pada 1979.

“Sepanjang menjadi askar, saya merasai sendiri tiga pertempuran melawan musuh. Saya berani bertempur walaupun pada awalnya perasaan gementar ada,” tambahnya.

Katanya, beliau mula menyertai tentera pada 1973 dan bersara pada 2004. Kemudian menjalani latihan rekrut di Kem Terendak Melaka selama enam bulan dan menjalani latihan lanjutan selama sembilan bulan.

Apabila balik ke Sarawak, ditempatkan di kem Bau, Kem Tasik Mas. Pawa waktu itu, 8 Renjer ditubuhkan.

Berasal dari Rumah Panjang Putus Paku, Spaoh, Betong, beliau tergerak menjadi askar kerana minat sejak kecil.

Dia minat akan pakaian askar seperti tentera Gurka dan British.

“Semasa di SMK St Luke, terdapat tentera British dengan 40 komando berada berdekatan Kem Gurka di Simanggang.

Saya masih ingat kisah Kapten Robert Griver semasa konfrontasi pada waktu itu. Mayatnya dikuburkan di Gereja St Luke ketika itu. Saya melihat sendiri semua upacara pengebumian itu,” katanya.

Jelasnya lagi, banyak cabaran ketika bertugas sebagai tentera.

“Ibu bapa tidak mahu kita sakit kerana kita bekerja sebagai tentera selalu berperang. Mereka tidak mahu anak-anaknya berada dalam bahaya,” ujarnya dan menambah, abangnya juga askar.

Anak keenam daripada sembilan adik-beradik itu mahu anak muda hari ini memandang tinggi kerja sebagai askar.

“Tanggungjawab dalam askar besar, yang tidak sama dengan profesion lain. Askar terdedah dengan peluru dan perangkap Booby.

“Hari ini, kita tidak tahu apa-apa yang bakal berlaku kepada generasi muda. Antaranya ancaman bahaya dadah aktiviti tidak sihat. Semua ini merosakkan generasi muda,” katanya.