KOMBINASI pemain Sarawak United FC semakin serasi dan bersedia untuk beraksi di Liga Premier 2020 yang bakal bermula 26 Ogos ini.

Pemain Tengah SUFC, Asri Chuchu berkata, pemain telah mengembalikan kecergasan fizikal dan fokus utama sekarang adalah latihan teknikal serta taktikal.

“Kombinasi pemain juga semakin serasi. Saya rasa kita sudah bersedia untuk beraksi. “Cuma sekarang ini, masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki untuk memantapkan pasukan,” katanya kepada Suara Sarawak baru-baru ini.

Beliau berkata, latihan telah berjalan seperti biasa dan mengikut Prosedur Operasi  Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Sementara itu, Asri menjelaskan belum ada kata putus daripada pihak atasan sama ada pasukannya terpanggil untuk aksi persahabatan memandangkan keadaan penularan wabak Covid-19 di Kuching agak membimbangkan.

“Mungkin perancangan aksi persahabatan ada tetapi bergantung kepada keadaan semasa penularan virus berkenaan dan kebenaran FAM,” ujarnya.

Pasukan itu dijadualkan akan bertemu pasukan Perak pada 26 Ogos ini di gelanggang lawan iaitu Stadium MP Manjung.

Baki tujuh perlawanan mungkin akan menjadi enam perlawanan sekiranya pasukan Kuching FA menarik diri daripada Liga Premier ekoran terdapat beberapa orang pemain mereka positif Covid-19.