MIRI: Sebanyak RM1 juta diperuntukan untuk kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan Taman Bulatan Miri yang akan dilaksanakan di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi kawasan Dun Piasau.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting berkata, projek itu merangkumi penambahbaikan laluan pejalan kaki, mencantikkan persekitaran taman dengan pemasangan lampu serta menaik taraf kemudahan permainan kanak-kanak di taman tersebut.

“Saya berharap pelaksanaan dimulakan dalam tahun ini juga kerana peruntukan sudah diluluskan.

“Sekarang, kami serahkan kepada Majlis Bandaraya Miri (MBM) dan seterusnya Pejabat Residen untuk proses cabut undi kontraktor,” katanya ketika melawat Taman Bulatan Miri di sini, kelmarin.

Adun Piasau itu berharap projek tersebut dapat memberikan keselesaan dan kemudahan kepada warga Miri yang datang mengunjungi taman itu.

Turut hadir, Datuk Bandar MBM Adam Yii. Taman Bulatan Miri yang terletak di tengah bandar raya ini merupakan salah satu taman rekreasi yang terkenal di sini.

Malah ia sering menjadi tumpuan orang ramai untuk aktiviti riadah seperti bersenam terutamanya pada sebelah petang dan malam.