BERGADUH, terasa hati, tersinggung, merajuk, marah, tidak berpuas hati itu merupakan perkara yang biasa berlaku dalam sebuah ikatan persahabatan.

Pasti setiap individu pernah melaluinya. Kawan, sahabat dan teman secara amnya membawa maksud yang sama namun mempunyai maksud tersirat.

Semua orang mempunyai kawan termasuk saya sendiri. Setiap orang kita kenali, yang kita dampingi adalah kawan. Sama ada di sekolah, pejabat atau di mana-mana sahaja, mereka adalah kawan.

Kawan ialah mereka yang sentiasa bersama-sama kita dan sanggup menolong kita ketika susah – tahniah kerana anda telah mempunyai seorang sahabat.

Maksud sahabat sama seperti kawan akan tetapi mempunyai makna yang lebih mendalam.

Mereka akan menolong kita sekiranya kita dilanda kesusahan.

Sahabat ialah orang yang memahami dan sanggup berkorban ketika senang dan susahnya kita.

Teman juga mempunyai maksud yang sama seperti kawan atau sahabat tetapi ia mengandungi pengertian lebih mendalam.

Pujangga pernah berkata, persahabatan yang tidak jujur umpama meniti buih di lautan.

Hamparan buih nan memutih, hanya indah di luaran, namun melewatinya bererti menuju ke jurang kehancuran.

Sahabat sejati juga menjunjung erti setia kawan, kejujuran dan bertanggugjawab.

Apabila tibanya bab berkawan, kebanyakan tidak kisah mempunyai puluhan malah ratusan kawan di sekeliling mereka.

Namun bagi Fiezzy Mohamad, seorang sahabat yang percaya prinsip kualiti dalam bersahabat.

Berpegang pada prinsip seribu orang kawan tidak sama dengan seorang sahabat.

Erti sebuah persahabatan baginya ialah sahabat lebih daripada sekadar teman apabila terkadang melewati satu rintangan.

Dalam menjalani persahabatan itu tidak mudah, kerana ada prosesnya, ada senang dan susah, ada liku dalam persahabatan yang kita lewati.

Setiap orang pasti memiliki pendapat yang berbeza-beza walaupun dia sahabat kita, tidak selalunya pemikirannya sama dengan kita kerana adakalanya berhujung dengan perselisihan faham.

“Namun, kadangkala pertengkaran itu menjadi pengerat hubungan dengan sahabat kita,” kata sahabat bernama Nurbaya Ahmad.

Walaupun, kini jarang berjumpa, namun, persahabatan tidak pernah luntur dek waktu biarpun terpisah ekoran masing-masing mempunyai komitmen sendiri.

Nurbaya yang lebih mesra disapa sebagai Baya seorang yang memahami, seorang yang tidak menilai keburukan orang serta baik hati serta senang untuk meluah perasaan serta berkongsi masalah susah dan senang.

”Sahabat juga mampu menyimpan rahsia dan aib kita selain akan sentiasa melindungi kita,” katanya lagi mengakhiri perbualan.