CABARAN guru yang tinggal di pedalaman menuntut kesabaran yang tinggi. Apabila berlaku masalah kerosakan generator maka peti sejuk tidak berfungsi. Pasti produk makanan basah akan mudah rosak.

Jalan terbaik bagi mengatasi masalah ini ialah menumpang peti sejuk penduduk kampung. Satu lagi masalah yang terpaksa dihadapi apabila penduduk kampung pula bukan beragama Islam.

Maka dalam dilema guru muslim terpaksa berkongsi peti sejuk dengan penduduk yang turut menyimpan makanan tidak halal. Saya ingin berkongsi pengalaman yang diceritakan oleh Cikgu Muhammad Syauqi yang masih berkhidmat sebagai guru di Belaga.

Cikgu Muhammad Syauqi juga merupakan seorang yang berjiwa pengembara, mempunyai pengalaman luas ketika menghadapi kejutan budaya. Namun dia sentiasa positif apabila berhadapan dengan dilema ini. Beliau turut menghasilkan sebuah buku travelog bertajuk Ijazah Jalanan pada 2019.

Semasa berada di Belaga beliau cuba memahami budaya dan adat masyarakat Kenyah. Beliau turut terharu dengan semangat setia kawan penduduk Kenyah di Belaga yang begitu toleransi di Bumi Kenyalang.

Beliau berkongsi kisah menarik dalam membina hubungan dan kepercayaan terhadap masyarakat Kenyah dan orang luar terutamanya dari Tanah Malaya.

Pada suatu ketika sekolahnya menghadapi masalah kekurangan minyak disel untuk menghidupkan sistem janakuasa. Memandangkan beliau baharu membeli barangan basah berupa daging dan ayam maka ia menjadi masalah besar kerana memerlukan tenaga elektrik untuk menghidupkan peti sejuk di rumahnya.

Kesukaran ini membuatkan dia mencari alternatif lain iaitu menumpang peti sejuk penduduk kampung yang mempunyai  janakuasa sendiri. Cikgu Syauqi tiada pilihan. Generator sekolahnya kehabisan minyak. Bekalan minyak baharu pula tidak tahu bila akan tiba. Generator tidak dapat beroperasi malam itu dan kami bergelap. Beliau bersama-sama isteri dan anak kecil pula baharu pulang dari sekolah setelah membeli stok barang-barang basah untuk sebulan di Bintulu.

Mahu atau tidak, malam itu Cikgu Syauqi membawa beberapa barang mentah yang dibeli ke rumah orang kampung berketurunan Kenyah yang tidak jauh dari sekolah. Beliau bimbang barang-barang makanan tersebut busuk dan akhirnya akan terbuang begitu sahaja.

“Boleh saya tumpang letak barang dalam “ice box” pakcik?” ujar Cikgu Syauqi kepada Pakcik Rait seorang penduduk Kenyah untuk memohon keizinan.

“Tapi cikgu… ada babi dalam ni.” Jawab pakcik Rait dalam nada serba salah. “Tidak apa tu, saya sudah bungkus dalam plastik. Tidak ada masalah kalau ada babi dalam ice box pakcik,” ujarnya kepada Pakcik Rait.

Dia kelihatan serba salah ketika mendengar hasrat dan pemintaan Cikgu Syauqi. Semua orang kampung di situ beragama Kristian. Hanya guru-guru dari Semenanjung yang beragama Islam di kawasan sekolah.

“Macam ni la cikgu, saya alihkan babi itu di bawah sekali. Saya atur barang-barang lain biar tindih babi itu di bawah sekali. Barang-barang cikgu saya letak atas sekali,” Pakcik Rait membalas. Sungguh terharu dengan apa yang dilakukan Pakcik Rait.

Walaupun dia tidak sebangsa, seagama, namun dia menghormati seorang guru yang berbeza pegangan agama. Pak Cik Rait sanggup bersusah payah menyusun atur barang-barang di dalam “ice box” agar daging babi kepunyaannya tidak bercampur dengan barang makanan Cikgu Syauqi.

Dan kisah Pakcik Rait ini hanyalah satu daripada beribu lagi kisah di Sarawak tentang bagaimana masyarakat yang berbilang bangsa dan agama hidup harmoni dan saling menghormati.

Kekuatan dan sikap saling menghormati ini jelas menyatakan bahawa bertolak ansur dan hidup harmoni itu adalah satu norma yang sudah lama diamalkan di Bumi Kenyalang ini.

Sikap yang menjadi teras untuk rakyat Sarawak kekalkan dan menjadi contoh untuk masyarakat lain di negara ini. Bukan tidak ada perselisihan, bukan semua di Sarawak ini sempurna namun dalam kekurangan itu masih ramai yang memilih untuk meraikan persamaan dan menghormati perbezaan.

Sarawak kini berada di landasan yang betul dalam membentuk generasi selepas merdeka pada 22 Julai 1963 yang saling bersikap terbuka dan menerima kepelbagaian nilai positif.

Ia diadaptasikan sebagai amalan dalam membina hubungan harmoni yang tulus dan ikhlas demi kemajuan adab dan perkerti di ibu pertiwi tercinta ini dan menjadikan sikap belas ihsan dan kasih sayang sebagai teras pembangunan modal insan warganya.

Ohaaaa… Harmonilah Sarawak ku.

• Cikgu Emmet atau Ahmad Faizal Osman merupakan guru kanan di SK Pulau Seduku Lingga, Sri Aman.