SIBU: Orang ramai khususnya pemilik anjing di Bahagian ini dialu-alukan menghantar anjing peliharaan mereka untuk mendapatkan vaksin antirabies secara percuma.

Program Pemvaksinan Antirabies percuma ini akan diadakan pada 5 hingga 6 Ogos ini dari jam 9.30 pagi hingga jam 3 petang di Sungai Merah, Heritage Walk Point.

Ia merupakan anjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak Sibu.

Sehubungan itu, pemilik anjing yang hadir pada program itu kelak diminta mematuhi semua SOP yang ditetapkan.

Antaranya ialah pemeriksaan suhu badan, menggunakan penutup hidung dan mulut, mengamalkan penjarakan fizikal dan membasuh tangan menggunakan sabun atau pensanitasi tangan selepas atau sebelum program bermula.

Orang awam juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan sebelum mendapatkan vaksin untuk anjing mereka.

Pemilik anjing juga perlu memastikan anjing peliharaan mereka dalam keadaan sihat, tidak mengandung dan sekurang-kurang-nya berumur tiga bulan ke atas.

Selain itu, pemilik anjing juga diingatkan dan diminta untuk mengurung atau mengasingkan anjing mereka selama 28 hari selepas diberi vaksin bagi memberikan daya tahan terhadap sistem imunisasi.