KUCHING: Kementerian Utiliti dan Sarawak Energy meneruskan usaha untuk memenuhi sasaran elektrik penuh di luar bandar menjelang 2025 meskipun menghadapi cabaran pandemik Covid-19.

Kampung di seluruh Simunjan dan Lubok Antu menerima projek di bawah Skim Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES) fasa akhir, dengan lebih 600 isi rumah dan balai raya dihubungkan dengan bekalan elektrik 24 jam di bawah projek tersebut.

Menteri Utiliti Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, walaupun kerja elektrik di luar bandar tertangguh disebabkan PKP, kerajaan tetap komited mencapai sasaran ke arah elektrik penuh menjelang 2025.

Sebelum projek dimulakan, kementerian dan Sarawak Energy mengadakan dialog dengan pemain industri mengenai penglibatan kerja pelaksanaannya.

Beliau menambah, bagi memastikan bahawa projek ini dilaksanakam dengan lancar, semua orang harus bersefahaman dengan agensi pelaksana, kontraktor termasuk penduduk kampung.

“Kami berterima kasih kepada komuniti atas kerjasama mereka. Ia penting bagi memastikan kita boleh menyelesaikan tugas tersebut agar tiada yang ketinggalan,” katanya.

Projek di Simunjan itu bakal menerangi 200 isi rumah dan sebuah balai raya apabila siap pada 2021.

Manakala projek di Engkari akan bermula pada Oktober diperluaskan ke kawasan terpencil dan mampu menerangi 18 kampung dengan hampir 400 isi rumah apabila siap pada 2022.

Katanya, masa paling penting dalam proses memastikan projek elektrik berjaya ialah melantik kontraktor pendawaian yang berdaftar.

Ini penting kerana kerja pendawaian yang tidak selamat boleh merosakkan peralatan elektrik termasuk menyebabkan kebakaran terutamanya di rumah panjang.

Pada awal 2020, sekitar 5,000 isi rumah menerima projek ini dan merupakan salah satu inisiatif pelan induk dipercepatkan di bawah projek rakyat Kerajaan Sarawak.