SARIKEI: ADUN N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii kekal sebagai calon pilihan Parti SUPP Sarikei untuk bertanding mempertahankan kerusi Repok dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Keputusan yang dipersetujui secara majoriti itu dibuat dalam Mesyuarat Agong SUPP Sarikei di Pusat Khidmat N.45 Repok, semalam.

Cadangan dikemukakan Setiausaha SUPP Cawangan Sarikei, Anthony Tan yang menamakan Huang sebagai bakal calon untuk mempertahankan kerusi Repok dalam PRN nanti.

Usul tersebut mendapat sokongan padu daripada ahli yang hadir.

Mengulas mengenai sokongan itu Huang berkata, ia merupakan satu kepercayaan
daripada ahli parti terutama di peringkat akar umbi.

Keputusan itu katanya, menyuntik semangatnya untuk terus menghulurkan khidmat terbaik sebagai wakil rakyat yang mewakili suara rakyat di DUN N.45 Repok.

“Apapun, sama ada bertanding atau sebaliknya saya menyerahkannya kepada budi bicara dan kebijaksanaan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Seandainya saya terpilih sekali lagi, sudah pasti agenda perjuangan saya untuk membela rakyat di DUN Repok diteruskan.

“Saya yakin boleh melaksanakannya berdasarkan sokongan padu rakyat sepanjang saya menjadi wakil rakyat di kawasan ini,” ujarnya.