SIBU: Pengerusi SUPP Cawangan Dudong Wong Ching Yong telah menerima surat pelantikan secara rasmi sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) daripada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, pada Khamis lalu.

Sehubungan itu, menurut Pengerusi MDLBS Sempurai Petrus Ngelai, pihaknya akan mengatur satu upacara penerimaan surat pelantikan itu dan upacara mengangkat sumpah pada awal Ogos ini.

“Wong sudah menerima surat pelantikannya (sebagai Timbalan Pengerusi MDLBS). “Saya mengucapkan tahniah kepada beliau atas pelantikannya ke jawatan tersebut. “Saya tidak sabar untuk bekerjasama dengannya.

“Saya pecaya pengalamannya sebagai ahli Majlis Perbandaran Sibu (MPS) sebelum ini sangat berguna untuk membantu saya di MDLBS.

“Dengan kerja berpasukan yang baik dan mendapat idea baharu, saya yakin MDLBS dapat memberikan perkhidmatan berkesan kepada penduduk yang berada di dalam bidang pentadbirannya,” katanya ketika dihubungi kelmarin.

Walaupun begitu, Sempurai memaklumkan bahawa ada banyak ruang untuk diperbaiki. “Dalam situasi kita saat ini menghadapi pandemik Covid-19 dan rabies, kerja berpasukan yang baik sangat penting dalam berkhidmat kepada dengan berkesan,” tambahnya.

Ching Yong mengambil alih jawatan itu daripada Senator Robert Lau Hui Yew yang mengundurkan diri setelah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara baru-baru ini.

Ching Yong mula menyertai SUPP sejak 1985. Pada 2017, beliau dipilih menjadi Pengerusi SUPP Cawangan Dudong dan ahli jawatankuasa kerja pusat SUPP. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai kaunselor MPS dari 1990 hingga 2000.