KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin memaklumkan kurang 20 peratus kawasan di negara ini mempunyai capaian internet yang amat lemah.

Bagaimanapun, beliau berkata terdapat kawasan yang mengalami gangguan capaian internet akibat perbuatan jenayah dan vandalisme.

“Dahulunya ada liputan di kawasan ini, tetapi tiba-tiba hilang kerana terdapat pihak tertentu yang mengorek gentian optik, mereka mencuri tembaga atau genset (jana kuasa bergerak) di sesetengah menara komunikasi.

“Masalah ini juga kita sedang atasi selain menambah capaian jalur lebar,” katanya ketika sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan M. Karupaiya  (PH-Padang Serai) mengenai jumlah kawasan yang mempunyai capaian internet yang amat lemah di negara ini.

Menjawab soalan asal Sabri Azit (PAS-Jerai) mengenai langkah mengatasi masalah status liputan internet di luar bandar, Zahidi berkata pembinaan menara komunikasi dan menaik taraf alat pemancar komunikasi di menara komunikasi sedia ada kepada perkhidmatan 3G dan 4G telah dan sedang giat dilaksanakan di seluruh negara untuk memperluas perkhidmatan jalur lebar mudah alih.

Beliau berkata sebanyak 2,360 menara komunikasi telah siap dibina dan 280 menara masih dalam peringkat pelaksanaan sehingga Jun lepas.

Sejumlah 5,348 alat pemancar komunikasi di menara komunikasi sedia ada telah dinaik taraf kepada perkhidmatan 3G dan 4G, dan 11 alat pemancar komunikasi masih dalam peringkat pelaksanaan, katanya.

“Bagi perkhidmatan jalur lebar talian tetap pula, pihak kerajaan telah melaksanakan projek Jalur Lebar Pinggir Bandar (SUBB) dan projek Jalur Lebar Luar Bandar (RBB) yang menyediakan kemudahan jalur lebar berkelajuan tinggi di kawasan pinggir bandar dan luar bandar di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata sehingga Jun lalu, 639,676 sambungan telah tersedia, manakala 34,781 sambungan masih dalam peringkat pelaksanaan yang dijangka siap secara berperingkat pada tahun ini.

Dalam pada itu, Zahidi memaklumkan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) dalam peringkat pelaksanaan dan tender bagi projek itu sedang dikeluarkan.

Beliau berkata kementerian pada masa ini mengadakan makmal infrastruktur digital negara bermula 13 Julai lalu sehingga 14 Ogos ini bagi menetapkan semula sasaran berkaitan pembangunan infrastruktur digital.

“Kawasan-kawasan yang kita lihat dapat mengadakan perkhidmatan jalur lebar yang lebih baik dan teknologi yang kita cadangkan itu bersesuaian dengan kawasan itu, maka kita akan laksanakan melalui projek NFCP (fasa) dua dan tiga,” katanya menjawab soalan tambahan Sabri mengenai status terkini pelaksanaan NFCP yang melibatkan peruntukan kira-kira RM21.6 bilion.

NFCP adalah pelan lima tahun (2019–2023) yang antara lain bertujuan menyediakan kesalinghubungan digital yang mampan, menyeluruh, berkualiti tinggi dan mampu milik untuk kesejahteraan rakyat di seluruh negara selain menyediakan persekitaran kondusif bagi penggunaan teknologi baharu seperti 5G.

— BERNAMA