KUCHING: Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan rayuan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan rayuan balas Kerajaan Sarawak mengenai isu cukai jualan negeri (SST).

Ia apabila Petronas menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching bahawa Sarawak berhak mengutip cukai jualan bagi produk petroleum.

Pada masa sama, Kerajaan Sarawak juga menarik balik rayuan balas berhubung isu bidang kuasa Mahkamah Tinggi mengenai SST.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Mohd Sofian Abd Razak membatalkan rayuan dan rayuan balas berkenaan serta memerintahkan setiap pihak menanggung kos masing-masing.

Petronas yang diwakili peguam, Datuk Malik Imtiaz Sarwar manakala Pegawai Undang-Undang Negeri, Datuk Seri JC Fong mewakili Kerajaan Sarawak dan Pengawal Cukai Jualan Sarawak turut mengesahkan rayuan itu telah ditarik balik.

Prosiding mahkamah itu dijalankan menerusi persidangan video.